Pertemuan PSB pada 29 Nov ini

Pertemuan PSB pada 29 Nov ini

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Nov – Angkatan Sasterawan dan Sasterawani (ASTERAWANI) Brunei Darussalam dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) akan mengadakan Pertemuan Sasterawan Brunei (PSB) ke-6, 2016 anjuran pada 29 November ini.

PSB pada tahun ini yang bertemakan ‘Semarak Sastera Era Kebawah Duli’ diadakan bersempena dengan sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan, Negara Brunei Darussalam ke-70.

Pemangku Pengarah DBP, Hajah Nortijah binti Haji Mohd Hassan berkata, pertemuan tersebut menghimpunkan para cendekiawan pelbagai bidang ilmu dan bertemu dalam dua sesi (pagi dan petang) pembentangan kertas kerja serta forum sastera.

Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dijadual menyampaikan ucaptama pada pertemuan itu nanti, katanya pada satu sidang media di Dewan Pateh Merbai, DBP, hari ini.

Turut hadir pada sidang media ialah Pengerusi Majlis, Ketua ASTERAWANI, Profesor Madya Ampuan Dr Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah.

Hajah Nortijah bersama Profesor Madya Ampuan Dr Haji Brahim semasa sidang media kelmarin.
Hajah Nortijah bersama Profesor Madya Ampuan Dr Haji Brahim semasa sidang media kelmarin.

Menurut Hajah Nortijah, enam pembentang kertas kerja dari pelbagai institusi antaranya DBP, Universiti Brunei Darussalam (UBD), ASTERAWANI dan Bahagian Kebudayaan dan Kesenian (B2K), Tutong telah diundang.

Khalayak sasar pertemuan terbuka kepada orang ramai, peminat dan pencinta sastera serta penggiat-penggiat sastera tanah air serta penggiat sastera luar negara seperti Labuan, Sabah dan Sarawak, Malaysia.

Pertemuan akan memfokuskan perbincangan mengenai perkembangan karya-karya sastera dan para penulis tanah air pada zaman pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dari tahun 1968 hingga sekarang.

Semasa acara tersebut, orang ramai juga berpeluang membeli buku Antologi Puisi Sembah Daulat Sejambak Kasih 70 tahun terbitan ASTERAWANI yang mengandungi luahan rasa dan pemikiran para penyair ASTERAWANI dan kerabat penulis tanah air yang didasari pendidikan, pengalaman dan persekitarannya dalam zaman sebelum dan semasa pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

Di samping itu, majlis juga akan menyaksikan pelancaran Kumpulan Puisi Kunang-Kunang terbitan DBP, hasil karya Mahmudamit yang merupakan penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award).

PSB ke-6 diadakan untuk memberi peluang kepada penulis-penulis tanah air berkumpul, berinteraksi dan bertukar-tukar fikiran mengenai isu-isu semasa dan perkembangan dalam bidang sastera, bahasa, budaya dan penulisan, serta meningkatkan hubungan dan kerjasama antara penulis. Ia juga menjadi medan pertemuan ke arah peningkatan dan pemantapan kesusasteraan Melayu Brunei Darussalam.

Pertemuan juga diselajurkan dengan acara Malam Semarak Sastera Era Kebawah Duli pada 29 November 2016, pukul 8 malam bertempat di Balai Sarmayuda, DBP, yang akan menghimpunkan penggiat-penggiat sastera, dalam pelbagai persembahan seni antaranya Monolog Sehelai Kain, sebuah teater karya dan arahan Zefri Ariff Brunei serta persembahan deklamasi sajak serta berdondang oleh para sasterawan tanah air.

Sehubungan itu, DBP menjemput dan mengalu-alukan orang ramai amnya serta peminat-peminat sastera untuk menghadiri pertemuan berkenaan, yang mana penyertaannya adalah terhad kepada 250 orang peserta.

Borang penyertaan boleh diperolehi di kaunter maklumat DBP, Lapangan Terbang Lama, Berakas, Jalan Pembangunan atau berhubung terus dengan Urus Setia Pertemuan Sasterawan Brunei (PSB) di talian 2382511 sambungan 137, 221 atau 192.

ARTIKEL YANG SAMA