Pertemuan semula bekas tentera pengambilan ke-65

Pertemuan semula bekas tentera pengambilan ke-65

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – Setelah tamat menjalani latihan rekrut di Pusat Latihan Perkhemahan Bolkiah, pada tahun 1984, para pelatih masing-masing ditempatkan ke unit-unit berlainan di Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Semenjak itu, ramai di antara mereka yang terlibat dalam latihan ketika itu tidak berpeluang untuk bertemu semula baik semasa bertugas ataupun dalam kehidupan seharian, dan melihat kepada keadaan itu, sebuah kumpulan ditubuhkan untuk menganjurkan pertemuan semula barisan bekas tentera ini.

Justeru itu, pertemuan semula bekas tentera pengambilan ke-65 tahun 1984 telah diadakan di Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, di ibu negara, hari ini, setelah 31 tahun tidak bertemu.

Menurut penganjur, laman sosial dan medium perhubungan ringkas terkini menjadi medium menemukan mereka semula dengan hasrat untuk mengeratkan hubungan silaturahim persahabatan yang sudah sekian lama terjalin itu.

Pertemuan semula bekas tentera pengambilan ke-65 setelah 31 tahun tidak bertemu.
Pertemuan semula bekas tentera pengambilan ke-65 setelah 31 tahun tidak bertemu.

Selepas pengerusi majlis, A PW2 (B) Sabli bin Haji Omar menyampaikan ucapan, majlis diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa selamat bagi salah seorang rakan yang sudah kembali ke rahmatullah.

Turut dijemput ke majlis itu ialah bekas pegawai platun pengambilan ke-65 Leftenan Kolonel (B) Haji Abdul Mulok bin Haji Zainal Abidin.

ARTIKEL YANG SAMA