Pertemuan semula dengan bekas rakan sekerja

Pertemuan semula dengan bekas rakan sekerja

Oleh Haji Mohd Daud Abdul Rahman

 

SERAMAI 24 orang bekas anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei bagi pengambilan ke-69 pada tahun 1986 baru-baru ini telah bertemu semula. Kebanyakan mereka sangat bersyukur kerana semua yang hadir dalam keadaan sihat apatah lagi dengan paparan wajah yang ceria setelah 29 tahun tidak berjumpa akhirnya bersua kembali.

Majlis perjumpaan yang penuh sederhana ini diadakan di Seasons Restaurant Centre Point, Gadong.

Terharu jumpa rakan lama

Dalam acara tersebut, turut hadir sama ialah Lt Kol (B) Haji Abdul Ghani bin Haji Abdullah dan Lt Kol (B) Haji Abdul Rahim bin Haji Karim.

Selama ini kebanyakan mereka jarang berjumpa setelah bersara.

Rakaman gambar ramai di kalangan 24 orang bekas anggota ABDB pengambilan ke 69, yang diadakan baru-baru ini.
Rakaman gambar ramai di kalangan 24 orang bekas anggota ABDB pengambilan ke 69, yang diadakan baru-baru ini.

Namun baru-baru ini mereka dapat berkumpul semula setelah membuat perhubungan melalui telefon bimbit dalam masa hampir selama satu bulan.

Salah satu sebab kemudahan telefon bimbit itu digunakan kerana ada di antara mereka yang tinggal jauh dari Bandar Seri Begawan, seperti Daerah Kuala Belait, Tutong dan Temburong.

Dengan adanya pertemuan ini, kebanyakan mereka rasa terharu bercampur gembira dan mengimbas kembali kenangan-kenangan pahit manis semasa berkhidmat dengan ABDB Brunei pada suatu ketika dahulu, mereka bergurau senda melihat bentuk tubuh badan zaman dulu dan sekarang sudah berubah tidak lagi menyamai dengan zaman dulu.

Sebelum majlis pertemuan itu berakhir, mereka membuat sesi bergambar ramai sebagai nostalgia kenang-kenangan ristaan.