Pertemuan semula penuh emosi

Pertemuan semula penuh emosi

GOSEONG, Korea Utara, 20 Okt – Hampir 400 orang warga Korea Selatan yang kebanyakannya sudah berusia menunjukkan perasaan emosi yang diiringi tangisan kegembiraan dalam satu acara pertemuan semula bersama anggota keluarga di Korea Utara, setelah lebih 60 tahun mereka terpisah akibat Perang Korea.

Armada bas yang didahului oleh empat buah kereta sedan hitam dengan bendera Pasukan Palang Merah bersama anggota keluarga yang membawa pelbagai hadiah berupa pakaian panas, wang tunai dan kosmetik, menyeberang masuk ke Korea Utara hari ini untuk bertemu ahli keluarga yang lama tidak dilihat di pusat peranginan Gunung Kumgang.

Rakaman video yang disiarkan dalam South Korean TV menunjukkan abang-abang, kakak-kakak, ibu dan bapa saudara, adik-beradik tiri masing-masing mencari antara satu sama lain di kalangan meja bernombor di dewan utama peranginan berkenaan dan setelah bertemu mereka memeluk sesama sendiri.

Bagi Lee Jeong-Sook, 68, saat itu membawanya bersemuka dengan ayahnya yang berusia 88 tahun, Ri Hong-Jong, yang terpisah sejak dia berusia dua tahun.

Ri dibawa ke bilik pertemuan dalam kerusi roda sehingga mencetuskan tangisan di samping adik perempuannya, Lee, yang berlari ke arahnya dan menjerit: ‘Abang!’

Chae Hun-Sik warga Korea Utara (tengah), 88, bertemu dengan ahli saudaranya penduduk Korea Selatan semasa pertemuan semula keluarga terpisah di pusat peranginan Gunung Kumgang di pantai tenggara Korea Utara pada 20 Oktober. – AFP
Chae Hun-Sik warga Korea Utara (tengah), 88, bertemu dengan ahli saudaranya penduduk Korea Selatan semasa pertemuan semula keluarga terpisah di pusat peranginan Gunung Kumgang di pantai tenggara Korea Utara pada 20 Oktober. – AFP

“Ini anak perempuan kamu, ini anak perempuan kamu,” kata adiknya menunjuk kepada Lee.

Kelihatan tersentuh dengan saat itu, Ri hanya mengangguk dan merangkul mesra lengan adiknya sebelum bertanya mengenai berita ahli keluarga lain di Selatan.

“Hampir kesemuanya mati dalam perang,” jawabnya.

Berjuta-juta orang berpindah tempat akibat Perang Korea, yang menyaksikan barisan hadapan turun naik dari selatan semenanjung Korea ke sempadan utara di China dan kembali lagi.

Kekacauan dan kemusnahan memisahkan adik-beradik, ibu bapa dan anak-anak, suami dan isteri.

Dengan lebih 65,000 rakyat Selatan Korea pada masa ini dalam senarai menunggu untuk mendapat tempat bagi penyatuan semula itu, mereka yang menuju ke Gunung Kumgang hari ini merupakan minoriti yang sangat bernasib baik.

Mengiringi rombongan hari ini adalah dua ambulans yang memberi keterangan mengenai usia, kesihatan yang kurang bagi mereka yang membuat perjalanan ke Korea Utara itu. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA