Pertikaian Laut China Selatan perlu diselesaikan secara aman

Pertikaian Laut China Selatan perlu diselesaikan secara aman

KUALA LUMPUR, 22 Nov – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menghadiri Sidang Kemuncak Komemoratif ASEAN-New Zealand Ke-40; dan Sidang Kemuncak Asia Timur Ke-10, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Dalam titah Baginda semasa Sidang Kemuncak Komemoratif ASEAN-New Zealand Ke-40, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyentuh mengenai hubungan antara ASEAN dan New Zealand yang telah berkembang maju dan kukuh sejak pertemuan terakhir pada 5 tahun yang lalu di Republik Sosialis Viet Nam, iaitu semasa pelancaran Empat Inisiatif Induk yang memfokuskan kepada kekuatan dan kelebihan New Zealand.

Inisiatif tersebut bukan sahaja mampu membangun kemahiran-kemahiran masyarakat ASEAN, tetapi juga mewujudkan perhubungan yang lebih rapat di antara masyarakat.

Baginda berasa bangga dengan tumpuan yang diberikan kepada pembangunan belia melalui Strategi Kemanusiaan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga menyentuh mengenai hubungan Negara Brunei Darussalam dengan New Zealand dalam Forum Serantau ASEAN (ARF) untuk mempertingkatkan lagi diplomasi pencegahan ke fasa berikutnya.

pg04_151123_d

Baginda Sultan ketika berangkat ke Sidang Kemuncak Komemoratif ASEAN-New Zealand ke-40; dan Sidang Kemuncak Asia Timur Ke-10 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). - Infofoto
Baginda Sultan ketika berangkat ke Sidang Kemuncak Komemoratif ASEAN-New Zealand ke-40; dan Sidang Kemuncak Asia Timur Ke-10 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). – Infofoto
Baginda Sultan berkenan bergambar ramai selepas menghadiri Kenyataan Bersama mengenai Rundingan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP). – Infofoto
Baginda Sultan berkenan bergambar ramai selepas menghadiri Kenyataan Bersama mengenai Rundingan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP). – Infofoto

Kedua-dua buah negara adalah juga merupakan Pengerusi Bersama kepada Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN Plus (ADMM-Plus) dalam bidang Keselamatan Maritim.

Dalam bidang ekonomi pula, Baginda menjelaskan bahawa Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN-Australia-New Zealand kekal sebagai salah satu FTA yang terbaik dalam kalangan FTA ASEAN dan ianya menjadi satu tanda aras bagi perjanjian FTA yang lain, termasuklah Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang pada masa ini masih dalam proses perundingan.

Untuk bergerak ke hadapan, Baginda menegaskan bahawa Pelan Tindakan ASEAN-New Zealand (2016-2020) akan menjadi pemacu utama dalam membina kerjasama yang lebih mendalam. Baginda berharap agar kedua-dua pihak akan dapat bersama-sama menangani cabaran-cabaran yang lama dan baru dengan berkesan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia merumuskan bahawa Baginda percaya usaha-usaha yang dilaksanakan oleh ASEAN bersama-sama New Zealand akan memberikan manfaat yang berterusan kepada komuniti dan masyarakat ASEAN selepas 2015. Oleh itu, Negara Brunei Darussalam menyambut baik New Zealand sebagai rakan strategik ASEAN dan Baginda berharap agar hubungan antara negara-negara anggota ASEAN dan New Zealand serta rakyatnya agar lebih kukuh terjalin.

Sidang kemuncak tersebut dihadiri oleh Ketua-ketua Negara dan Kerajaan ASEAN; Perdana Menteri New Zealand, John Philip Key dan Setiausaha Agung ASEAN, Le Luong Minh.

Pada akhir sidang kemuncak tersebut, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN telah mengeluarkan Kenyataan Pengerusi Sidang Kemuncak Komemoratif ASEAN-New Zealand Kali Ke-40.

Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-10

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berkenaan menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur Kali ke-10 yang dihadiri oleh Ketua-ketua Negara dan Kerajaan ASEAN, Republik Rakyat China, Republik India, Jepun, Republik Korea, New Zealand, Amerika Syarikat, termasuk Setiausaha Agung Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan ASEAN.

Semasa mengurniakan titah pada sidang kemuncak tersebut, Baginda Sultan antara lain menekankan mengenai kejayaan ADMM-Plus dalam latihan Bantuan Kemanusiaan yang diadakan di Negara Brunei Darussalam, yang memperlihatkan bagaimana 18 buah negara mampu bekerjasama menangani isu-isu yang mempunyai kepentingan bersama.

Titah Baginda, EAS seharusnya mencontohi kejayaan kerjasama tersebut bagi antara lain menangani cabaran-cabaran baru yang timbul seperti terorisme, keganasan melampau, perubahan iklim, pemerdagangan manusia dan degradasi kepada alam sekitar.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga memberikan penekanan kepada persekitaran maritim yang terancam oleh kegiatan lanun, penangkapan ikan secara haram dan secara berlebihan mengakibatkan penurunan gred alam sekitar, yang memberikan kesan kepada kehidupan masyarakat.

Di samping itu, cabaran-cabaran yang dihadapi perlu ditangani bersama melalui usaha-usaha gabungan daripada rakan-rakan dialog EAS. Manakala cadangan yang dikemukakan Perdana Menteri New Zealand, John Philip Key untuk mewujudkan satu tempat perlindungan lautan yang baru akan melengkapkan Inisiatif Segitiga Terumbu Karang yang bertujuan untuk melindungi dan memelihara sumber-sumber pantai dan marin.

Bukan itu saja, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga menyentuh mengenai keadaan di kawasan Laut Cina Selatan, di mana semua pihak perlu menghindari daripada melakukan aktiviti-aktiviti yang cenderung kepada peningkatan ketegangan di rantau ini. Jalan penyelesaian bagi segala pertikaian ini perlu dilakukan secara aman damai melalui perundingan dan dialog, berdasarkan kepada undang-undang antarabangsa termasuk UNCLOS 1982.

Ke arah meningkatkan lagi kepercayaan dan keyakinan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia memberi sokongan terhadap segala usaha dalam melaksanakan sepenuhnya Declaration on the Conduct of Parties in the South China Sea (DOC) serta langkah-langkah penghasilan awal. Kesimpulan awal DOC berkenaan boleh dicapai melalui pemahaman yang lebih baik di antara satu sama lain.

Pada akhir sidang kemuncak tersebut, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN telah mengeluarkan Kenyataan Pengerusi Sidang Kemuncak Asia Timur ke-10.

Mengiringi keberangkatan Baginda ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng; dan Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar.

Turut mengiringi ialah Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Haji Alaihuddin bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Lela Dato Seri Utama Haji Awang Mohd Taha.

ARTIKEL YANG SAMA