Pertimbang semula vaksin anak

Pertimbang semula vaksin anak

JAKARTA, 29 Jun (AFP) – Para ibu bapa di Indonesia dinasihatkan hari ini supaya berunding dengan doktor mereka dan menimbangkan untuk memvaksin semula anak mereka tatkala skandal vaksin tiruan melanda negara.

Polis menumpas satu sindiket jenayah pada minggu lalu yang dituduh menjual vaksin tiruan selama lebih satu dekad kepada klinik kesihatan di seluruh Indonesia, gugusan kepulauan yang mempunyai 255 juta penduduk.

Enam belas orang, termasuk pasangan suami isteri yang dipercayai merancang skim tersebut, telah pun ditahan atas penglibatan mereka. Mereka dituduh mengedar booster tiruan untuk penyakit termasuk tuberkulosis, hepatitis B dan tetanus.

Kementerian kesihatan Indonesia sedang bekerjasama dengan polis untuk menentukan skala masalah berkenaan. Agensi makanan dan ubat negara telah merampas vaksin daripada hampir 30 klinik kesihatan, tetapi masih tidak diketahui sejauh mana skala masalah yang dihadapi.

“Kami sedang bekerjasama dengan agensi makanan dan ubat negara untuk mengumpul data dan mengambil langkah yang wajar,” beritahu jurucakap kementerian kesihatan Oscar Primadi kepada AFP.

“Jika pemvaksinan perlu dilakukan semula, maka kami akan melakukannya, ia tidak mustahil.”

Persatuan Pediatrik Indonesia berkata ibu bapa yang tidak pasti sama ada anak mereka mungkin dijangkiti harus bertanya kepada hospital atau klinik kesihatan mengenai asal usul vaksin mereka.

“Jika anda masih tidak pasti, anda boleh mengambil semula vaksin. Ia tidak mempunyai kesan negatif ke atas kesihatan kanak-kanak,” beritahu pengerusi persatuan Aman Bhakti Pulungan kepada AFP.

Skandal itu terbongkar selepas sebuah syarikat farmaseutikal menghubungi pihak berkuasa Indonesia bahawa sesetengah produknya telah dipalsukan.

Kes itu telah menimbulkan kebimbangan di seluruh negara, dengan Presiden Indonesia Joko Widodo menuntut hukuman paling berat mungkin untuk ‘jenayah luar biasa ini’.