Pertingkat industri pelancongan melalui sajian istimewa

Pertingkat industri pelancongan melalui sajian istimewa

NEW YORK – Seorang cef terkemuka dunia mula mengenengahkan beberapa hidangan istimewa yang berasal daripada negara tempat kelahiran Melania Trump.

Ana Ros yang pernah membintangi sebuah siri terbitan Netflix, Chef’s Table mula mengusahakan sebuah restoran yang menyajikan hidangan istimewa dari Slovenia di sebuah penginapan terletak di kawasan yang agak terpencil.

Baru-baru ini, Pegawai Pelancongan Slovenia telah membawa Ros ke New York untuk melakukan demonstrasi kemahiran beliau dalam seni kulinari yang juga merupakan satu langkah terbaik bagi meningkatkan industri pelancongan negara yang memiliki jumlah penduduk seramai dua juta orang namun hanya menerima kira-kira tiga juta orang pelancong pada setiap tahun.

Ros menguasai bahagian dapur di sebuah restoran bernama Hisa Franko yang menyajikan pelbagai menu seperti asparagus putih goreng bersama dengan krim saderi, pasta yang dimasak dengan keju segar diperbuat daripada kambing biri-biri, udang galah masak halia, jeruk bawang putih dengan ramuan herba purba India dan banyak lagi.

Suami Ros, Valter Kramar adalah pengusaha keju dan wain serta turut mewarisi Hisa Franko dan ladang kecil daripada bapanya.

Slovenia menawarkan begitu banyak destinasi pelancongan yang menarik. – AP
Slovenia menawarkan begitu banyak destinasi pelancongan yang menarik. – AP

Tempat penginapan itu terletak di sebuah kawasan perkampungan kecil di Kobarid, di bahagian barat negara tersebut di mana ia dikelilingi oleh pokok pine yang tumbuh subur dan Lembah Sungai Soca.

Ia juga menjadi lokasi kepada penulis buku terkemuka, Ernest Hemingway mencambah idea untuk menzahirkan buku novelnya berjudul A Farewell to Arms di mana ia mengisahkan mengenai kehidupan masyarakat di Perang Dunia Pertama.

“Kita boleh menyaksikan Itali yang merupakan sempadan kepada Slovenia dan bot yang beroperasi di Laut Adriatik,” jelas Ros ketika menerangkan panorama indah yang dapat dinikmati dari tempat penginapannya.

Pada dasarnya, kemahiran Ros dalam bidang masakan adalah bermula daripada hasil daripada minat beliau yang gemar mencuba pelbagai resipi masakan di samping turut menerima bimbingan daripada beberapa orang tokoh dalam bidang masakan.

“Saya gemar bereksperimen dalam mempelbagaikan lagi menu hidangan yang saya sediakan dan seboleh mungkin berusaha untuk menepati citarasa para pelanggan,” jelas Ros.

Ros, 44 dan suaminya, Kramar, 49 telah menjelajah ke serata dunia dan turut mencuba untuk menggabungkan rasa dan teknik masakan dengan menggunakan bahan yang diperoleh daripada hasil ladang seperti sayuran dan herba yang diusahakan sendiri.

“Slovenia merupakan sebuah negara yang memiliki perpaduan yang menyeluruh dari segi landskap termasuk laut, bukit-bakau, dataran dan budaya yang merangkumi pengaruh Mediterranean, Eropah Tengah dan Balkan,” jelas Andrej Smrekar, Kurator Seni di Galeri Kebangsaan Ljubljana yang telah giat berusaha dalam mentrasformasikan sebuah gereja lama menjadi galeri seni yang menarik.

Sewaktu Melania Trump masih bergelar seorang pelajar pada sekitar tahun 1980an, keadaan bandar raya itu digemparkan dengan para pemberontak dan aktivis yang tidak sabar untuk melepaskan sisa-sia birokrasi sosialis yang membosankan.

Antara aksi yang ditonjolkan oleh cef terkemuka, Ana Ros ketika berada di dapur menyediakan menu istimewa Slovenia bagi tujuan industri pelancongan negara tersebut.
Antara aksi yang ditonjolkan oleh cef terkemuka, Ana Ros ketika berada di dapur menyediakan menu istimewa Slovenia bagi tujuan industri pelancongan negara tersebut.
Salah satu daripada menu istimewa Slovenia yang disediakan oleh Ana Ros. – AP
Salah satu daripada menu istimewa Slovenia yang disediakan oleh Ana Ros. – AP

Slovenia juga sering kali terkecuali daripada Perang Dunia yang kejam dan berjaya mencapai kemerdekaannya daripada Yugoslavia pada tahun 1991.

Kini Ljubljana adalah sebuah bandar raya metropolis yang memiliki seramai 300,000 penduduk, beberapa kedai moden juga turut dibina di mana ia menawarkan pelbagai barangan seperti elektronik berteknologi tinggi, pakaian berjenama, makanan segera dan hotel mewah yang direnovasi daripada tapak bangunan penjara.

Menariknya, pusat bandar tersebut juga bebas daripada masalah trafik dan kelihatan orang awam juga cenderung untuk memilih berjalan kaki daripada sesebuah tempat ke tempat yang lain.

Tidak kurang dari satu jam menuju ke arah timur Ljubljana adalah Sevnica, bandar perindustrian yang merupakan tempat Melania Trump dilahirkan dan dibesarkan.

Keadaan di sekeliling itu jelas sangat menakjubkan di mana ia tetap mengekalkan tradisi bermain rakit di Sungai Sava, panorama Laut Adriatic yang sangat memukau dan melakukan aktiviti menunggang kuda di Lipizzaner.

KIni Ros juga terus memperkenalkan keunikan budaya Slovenia di New York dengan menampilkan pelbagai jenis hidangan istimewa kepada masyarakat di Amerika Syarikat di mana ia setentunya menjadi satu kelebihan kepada industri pelancongan di Slovenia. – AP