Pertingkat kemahiran pemain badminton

Pertingkat kemahiran pemain badminton

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Feb – Dua perkara menjadi perbincangan dalam Mesyuarat Pertama Persatuan Badminton Kebangsaan Brunei Darussalam (PBKBD) baru-baru ini, antaranya adalah pelaksanaan Kejohanan Peringkat Nasional secara berpasukan atau perseorangan dan permesyuaratan mengenai hal tersebut yang akan diadakan sedikit masa lagi.

Sasaran kedua tahun ini merupakan kesinambungan kepada tawaran menjadi hos kepada Cabaran Dunia kendalian WBF dan BAC pada November tahun lalu yang tergendala ekoran sumber kewangan dan tajaan.

“Insya Allah tahun ini jika tiada aral melintang dengan sokongan WBF berjumlah AS$15,000 dan BAC pula menyumbangkan AS$8,000 dan setelah penandatanganan penaja Yonex Sunrise akan menaja Bulu tangkis secara percuma, raket dan baju serta AS$14,000 bagi menampung perbelanjaan hadiah, makan minum dan keperluan lain,” Presiden Persatuan Badminton Kebangsaan Brunei Darussalam, Haji Antin bin Ahad kepada Media Permata.

Menurutnya lagi, kesemua sumbangan tersebut adalah bagi penganjuran kepada Cabaran Dunia yang akan berlangsung selepas Musim lebaran Aidilfitri pertengahan tahun ini nanti bagi peringkat kebangsaan. Sementara itu, bagi peringkat antarabangsa Cabaran Dunia pula akan berlangsung pada penghujung November atau awal Disember 2016.

Mengulas mengenai barisan pemain kebangsaan, beliau menegaskan sememangnya nama pemain sudah ada namun kini tinggal latihan berterusan untuk memantapkan lagi pencapaian masing-masing.

Haji Antin ketika ditemui media.
Haji Antin ketika ditemui media.
Presiden PBKBD ketika mempengerusikan majlis tersebut.
Presiden PBKBD ketika mempengerusikan majlis tersebut.

“Saya telah mengesyorkan salah seorang pemain kita untuk menyertai kejohanan Olimpik di Rio De Janeiro meskipun terpaksa bersaing di Eropah dan Asia untuk memastikan beliau layak ke negara hos sukan Olimpik Ogos 2016 ini nanti,” ujarnya.

Mengulas mengenai jurulatih tetap pula menurutnya kita sudah mempunyai banyak jurulatih yang diiktiraf dan bersijil, cuma tinggal untuk memilih sahaja lagi dan mendapatkan imbuhan sebagai insentif kepada pemain dan jurulatih tempatan.

“Kita tidak akan berjaya jika latihan hanya dibuat di dalam negara kerana ia akan menyebabkan perkembangan pemain-pemain kita sedikit mendatar tanpa pendedahan yang ada dengan penglibatan latihan di luar negara,” tambahnya.

Meskipun tidak menonjol daripada aspek kejohanan di dalam negeri, serantau dan antarabangsa, namun Persatuan Badminton Kebangsaan Brunei Darussalam sejak tiga tahun ke belakang ini banyak mengadakan latihan kejurulatihan dalam kalangan individu, para guru-guru fizikal sekolah-sekolah yang dianjurkan Persekutuan Badminton Dunia dan Persekutuan Badminton Asia.

“Yang pertama adalah Projek Shuttle Time iaitu latihan bagi anak-anak tempatan yang khusus berminat untuk menjadi jurulatih dikendalikan WBF dan kini sudah tiga kali diadakan di negara ini dalam tiga tahun kebelakangan yang antaranya menarik minat para guru sekolah dan penyertaan sektor swasta,” ujar Presiden Persatuan Badminton Kebangsaan Brunei Darussalam, Haji Antin bin Ahad ketika ditemui di Dewan Serba Guna SATENAGA di Tanjung Nangka di sini.

Yang kedua pula, katanya sebanyak lima orang kini sudah melangkah ke peringkat lanjutan dan boleh diiktiraf oleh WBF untuk menjadi tutor kepada jurulatih-jurulatih baru dan selaras dengan matlamat utama persatuan untuk meneruskan latihan kejurulatihan sukan badminton dan diteruskan dengan implementasi di peringkat sekolah dan pertubuhan masing-masing.

Menurutnya, ibu bapa kini memainkan peranan untuk mendukung dan menyokong minat anak-anak dalam acara sukan kerana beliau percaya anak-anak muda lebih terdedah kepada pembahagian masa dan komitmen yang sangat tinggi.

“Tiga perkara yang perlu dilihat adalah disiplin, kecergasan fizikal dan kepelbagaian idea dengan berkebolehan menganalisis pemain dan kejurulatihan menjadikan sesebuah pasukan itu mantap dan berdaya siang,” tambahnya lagi.

Beliau juga menyeru supaya para jurulatih dan pemain akan terus bersemangat serta memperkembangkan lagi pengalaman melalui perlawanan persahabatan dengan sokongan Ibu bapa, bersedia dari segi fizikal dan mental serta berfikiran matang terutama dalam permainan atau di luar gelanggang.

Beliau turut menyeru kepada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan untuk memikirkan hal insentif dan turut mengalu-alukan sokongan padu Jabatan Pembangunan Kokurikulum dalam menjayakan banyak lagi kejohanan yang pastinya akan menampilkan lebih banyak bakat baru dalam dunia badminton di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA