Pertingkat kestabilan ekonomi – ASEM

Pertingkat kestabilan ekonomi – ASEM

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) – Mesyuarat Menteri-menteri Kewangan Asia-Eropah (ASEM) ke-12 menyambut baik langkah yang diambil oleh negara Asia dan Eropah sejak beberapa tahun lepas dalam melindungi kestabilan ekonomi, menangani ketidakseimbangan makroekonomi serta meningkatkan fungsi dan daya tahan pasaran kewangan.

Dalam satu kenyataan di sini, Kementerian Kewangan (MOF) berkata mesyuarat ASEM yang berlangsung di Ulaanbaatar, Mongolia pada Jumaat itu memperakui bahawa dasar dan strategi ekonomi yang kukuh akan meningkatkan daya tahan sistem kewangan dunia dalam jangka panjang.

Ia juga akan menyokong keyakinan pasaran serta meningkatkan fungsi pasaran kewangan dunia. Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Chua Tee Yong, bersama perwakilan dari MOF Malaysia serta wakil dari 43 negara anggota ASEM serta organisasi antarabangsa yang berkaitan, menghadiri mesyuarat tersebut.

Kenyataan itu menyebut bahawa mesyuarat berkenaan turut mengambil maklum mengenai prestasi pertumbuhan yang sederhana dan tidak saksama antara rantau dan negara.

“Pertumbuhan pasaran pesat membangun dan ekonomi membangun secara keseluruhannya terus perlahan, dan pada masa yang sama pemulihan sederhana terus dicatat oleh ekonomi maju,” kata kenyataan itu.

Ekonomi Eropah dijangkakan terus berkembang secara perlahan, dengan kadar inflasi rendah dan risiko global yang tinggi.

Namun, Asia secara menyeluruhnya masih merupakan rantau yang paling dinamik, berkembang sekitar 5.25 peratus.

Faktor penting yang mempengaruhi prospek jangka panjang di Asia dan Eropah termasuklah dasar monetari US yang kembali ke paras normal secara berperingkat-peringkat, harga sumber tenaga dan komoditi yang rendah serta penurunan pelahan dan keseimbangan ekonomi pasaran pesat membangun, terutama China, secara perlahan-lahan.

Rumusan yang dicapai pada mesyuarat itu akan bincangkan pada Sidang Kemuncak ASEM ke-11 yang berlangsung pada 15 hingga 16 Julai di Ulaanbaatar.

Chua turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan Menteri Kewangan Mongolia bagi bertukar-tukar pandangan mengenai pertumbuhan dan prospek ekonomi negara dan dunia serta berkongsi pengalaman cara yang dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia dan Mongolia dalam menghadapi situasi ekonomi dunia yang kini mencabar.

ARTIKEL YANG SAMA