Pertingkat komitmen atlet dalam latihan

Pertingkat komitmen atlet dalam latihan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mac – Tanggapan bahawa atlet barat atau atlet luar mempunyai kelebihan baik dari aspek fizikal dan mental perlu dikikis kerana apa yang lebih penting adalah potensi, bakat dan kemahuan.

Cuba kita lihat kejayaan atlet daripada kepulauan kecil dan Afrika seperti Cameroon yang berjaya meraih pingat bersaing dengan atlet lain di kejohanan yang besar dan ini membuktikan kata-kata itu hanya ungkapan atau alasan untuk tidak berusaha meraih dan menggapai impian kita dalam sukan.

Perkara itu ditegaskan oleh Jurulatih Olahraga Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Joseph Kameni ketika ditemui di Kompleks Padang dan Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah ketika menyelia sesi percubaan olahraga kebangsaan kendalian Persekutuan Olahraga Brunei Darussalam di sini.

Beliau juga menegaskan bahawa keyakinan diri sendiri dan latihan adalah perlu kerana apa yang dilatih di Canada contohnya pasti serupa dengan apa yang dilatih di sini.

“Lebih daripada itu jika dilihat berbanding negara lain, Brunei Darussalam mempunyai fasiliti yang cukup baik untuk melahirkan atlet yang berkualiti dan bertaraf pingat di kejohanan antarabangsa,” tegasnya kepada Media Permata.

Joseph Kemani ketuka ditemui media.
Joseph Kemani ketuka ditemui media.

Katanya lagi, atlet di negara ini bertuah kerana mendapat peluang untuk menikmati kemudahan dan menyatakan keyakinannya bahawa dalam tempoh lapan tahun akan datang, para atlet pasti akan meraih pingat jika sikap ‘melentur buluh daripada rebungnya’ dilakukan dari sekarang.

Ditanya mengenai sesi percubaan semalam, katanya ia adalah yang pertama bagi musim 2016 yang antaranya memberikan pendedahan awal kepada para atlet bagi persiapan menghadapi dua kejohanan besar tahun ini dan mengharapkan mereka fokus kepada latihan.

“Percubaan ini merupakan permulaan bagi tempoh persiapan intensif terutama bagi acara lompatan dan merupakan persiapan asas kepada seluruh acara olahraga yang melibatkan kira-kira 35 orang atlet, pendedahan kepada percubaan kedua yang antaranya akan menumpukan kepada persembahan atlet dalam masa tiga minggu bersama BDAF.

Mengulas mengenai percubaan kedua itu nanti, Joseph menegaskan selepas ini tempoh persediaan khusus akan bermula dan para atlet yang akan menumpu perhatian kepada kelajuan, teknik dan keupayaan atlet masing-masing.

“Setakat ini belum ada nama yang ditetapkan untuk mana-mana disiplin untuk kejohanan kerana latihan masa ini adalah bagi semua atlet yang berdaftar di bawah BDAF sebelum memilih atlet yang bakal memikul tanggungjawab dan cabaran di dalam acara Sukan Malaysia, Terbuka Singapura, Malaysia dan di negara ini sendiri berdasarkan pelan latihan musim ini,” ujarnya.

Menurutnya tidak semua atlet akan terpilih kerana BDAF perlu mengikut kriteria yang diminta oleh pihak penganjur seperti usia dan kelayakan. Disebabkan itu juga, sesi hari ini dinamakan sebagai percubaan acara olahraga kebangsaan dan bukannya pemilihan.

“Setakat ini kita belum ada atlet yang berdedikasi kepada satu acara dan saya lebih suka atlet yang bersifat menjurus kepada satu acara sepenuh masa kerana ia lebih fokus dan membuka peluang yang lebih besar untuk mendapat kejayaan,” tegasnya lagi.

Beliau menambah, “kita lihat kepada apa yang kita alami sebelum ini, atlet akan bercelaru dan lebih buruk lagi mereka akan terdedah kepada kecederaan yang sememangnya dihindari dalam mencapai objektif pingat negara di peringkat serantau mahupun antarabangsa.”

Mengulas lagi mengenai strategi latihan, beliau menegaskan latihan adalah suatu yang menjadi keutamaan dan merupakan prioriti kepada setiap atlet kerana dalam latihan tersebut pada jurulatih akan melihat kepada aspek teknik, ketahanan dan pencapaian para atlet.

Beliau juga menegaskan bahawa para atlet perlu mahir dalam simulasi dan persiapan mentaliti supaya mereka lebih faham akan teknik dan kaedah sebenar dalam perlawanan.

“Selepas itu kita akan memberikan tumpuan kepada kejohanan dan melihat latihan bersama jurulatih kebangsaan itu sesuatu yang penting berbanding dengan jurulatih peribadi kerana setiap latihan mungkin akan berbeza.”

Dalam pada itu juga, beliau sangat berbesar hati dengan pencapaian atlet yang kini berlatih di bawah kendaliannya sambil berkata, “kita perlu melihat sejauh Olimpik tahun 2020 kerana sebelum ke sana kita akan mempunyai banyak acara di antaranya bagi mempersiapkan atlet termasuk SUKMA, Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan banyak lagi kejohanan yang berprofil tinggi.”

ARTIKEL YANG SAMA