Pertingkat perkhidmatan pengangkutan awam

Pertingkat perkhidmatan pengangkutan awam

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Dis – Kerajaan melalui Kementerian Perhubungan akan terus memberikan tumpuan bagi meningkatkan perkhidmatan pengangkutan dan perhubungan sebagai barangan awam (Public Goods) yang terpenting khususnya melalui penerbangan awam dan pengangkutan awam seperti teksi dan bas, perkapalan, pos dan telekomunikasi serta siber.

Antara kaedah yang dipertimbangkan ialah penglibatan kerajaan dalam sektor berkenaan terutama daripada segi pembentukan dasar awam, peraturan, ekonomi atau pengurusan pendapatan dan kemapanan dengan matlamat untuk mencapai objektif yang dihasratkan.

“Kedua ialah menggalakkan kerjasama dengan pihak swasta melalui Private Public Partnership yang berasaskan kepada tanggungjawab dan faedah jangka panjang,” kata Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa bin Haji Sirat ketika berucap pada Majlis Perasmian Pameran Penerbangan Awam dan Sembahyang Sunnat Hajat Berjemaah, Membaca Surah Yasin, Tahlil dan Doa Selamat sempena Sambutan Hari Penerbangan Awam Antarabangsa 2015, hari ini.

“Antara yang menjadi sasaran utama dalam perancangan ini ialah bidang pengangkutan awam di mana kita perlu menimbangkan two-pronged approach iaitu mengawal pertumbuhan kenderaan dan meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas dan teksi,” jelasnya lagi pada majlis yang berlangsung di Dewan Ketibaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei itu.

Yang Berhormat Menteri Perhubungan menyempurnakan perasmian pameran mini bersempena Sambu-tan Hari Penerbangan Awam Antarabangsa 2015.
Yang Berhormat Menteri Perhubungan menyempurnakan perasmian pameran mini bersempena Sambu-tan Hari Penerbangan Awam Antarabangsa 2015.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa ketika menyaksikan pameran berkenan.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa ketika menyaksikan pameran berkenan.
Yang Berhormat Menteri Perhubungan menyampaikan sijil penghargaan kepada para wakil penerima-penerima.
Yang Berhormat Menteri Perhubungan menyampaikan sijil penghargaan kepada para wakil penerima-penerima.

Berhubung dengan pengawalan pertumbuhan kenderaan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa mendedahkan bahawa pertumbuhan kereta persendirian ialah lebih daripada 8 peratus setahun dan jumlah peningkatan itu melebihi peratus pertumbuhan penduduk setiap tahun.

“Sebagai langkah awal, kita perlu mengadakan kempen pendidikan sebagai perubahan minda, bahawa kereta bukanlah aset pelaburan malah akan menjadi satu liabiliti atau tanggungan.”

Sementara itu, berhubung dengan perkhidmatan pengangkutan awam, beliau berkata cabaran untuk meningkatkan bas dan teksi adalah sistemik dan amat mencabar di mana antara perkara yang ketara dalam sektor pengangkutan awam ialah jurang ekonomi atau ketidakseimbangan dalam peluang perniagaan.

“Ada bahagian laluan bas dan teksi yang menguntungkan sementara ada juga bahagian laluan yang tidak mendatangkan hasil sama sekali.”

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa menyatakan bahawa penglibatan kerajaan dalam perkara itu adalah untuk melahirkan dasar komprehensif membentuk model perniagaan yang mengimbangkan keadaan bagi melahirkan perkhidmatan yang sama rata dengan tujuan menggalakkan pelaburan pihak swasta dan meningkatkan penyertaan daripada pihak penyelia perkhidmatan bas dan teksi.

Di samping itu, beliau berkata bahawa tanggungjawab dan kerjasama daripada semua pihak terutama pengendali bas dan teksi adalah berasaskan kepada mendahulukan kepentingan negara untuk mencapai situasi yang bermanfaat untuk semua (win-win) dan membentuk model perniagaan seperti yang terdapat di tempat lain.

“Jabatan Pengangkutan Darat juga dalam masa terdekat akan melancarkan kaedah outsourcing dalam perkhidmatan Vehicle Inspection kepada bengkel-bengkel yang layak yang mempunyai excess capacity dalam rangka Public and Private Partnership.”

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa menjelaskan, “Kita ingin melihat tanggungjawab daripada pihak pembekal kereta tidak terhad kepada mencari peluang perniagaan sahaja tetapi menjamin roadworthiness setiap kenderaan setiap hayat atau through-life, untuk meningkatkan keyakinan orang ramai terutama dalam penjualan kereta-kereta terpakai.”

Dalam bidang perkapalan dan perkhidmatan pelabuhan pula, Yang Berhormat Menteri Perhubungan berkata, Kementerian Perhubungan akan menimbangkan pendekatan atau kaedah-kaedah yang lebih baik untuk meningkatkan perkhidmatan perkapalan dan pelabuhan, khususnya peluang-peluang trans-shipment (trans-penghantaran) yang ternyata sudah terbuka luas di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA