Pertingkat tangani kecemasan

Pertingkat tangani kecemasan

Oleh Anwar Rosly

 

BELAIT, 6 April – Dalam berdepan dan menguji kesediaan menghadapi sebarang kecemasan yang melibatkan aset mereka, tiga organisasi di bawah Brunei Shell Joint Venture (BSJV) telah bekerjasama mengadakan latihan dinamakan sebagai Latihan Shining Shore 2016 yang berlangsung selama dua hari di Kelab Rekreasi Brunei Shell, Seria.

Pelancaran latihan berkenaan, hari ini, telah disempurnakan oleh Penolong Pegawai Daerah Belait, Awang Hasmiron bin Haji Mohd Taib.

Tiga buah syarikat yang terlibat dalam latihan dwitahunan berkenaan ialah Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP), Brunei LNG dan Brunei Gas Carrier (BGC) yang berganding bahu dengan jawatankuasa Pelan Pengurusan Kontingensi Tumpahan Minyak Kebangsaan (NOSCOP MC) untuk menilai tindak balas serta keupayaan mereka.

Menerusi latihan itu, mereka akan terlibat menjalankan tugas-tugas tertentu dalam menangani keadaan kecemasan.

“Latihan ini merupakan satu keperluan Shell Global dan dilaksanakan setiap dua tahun supaya standard keupayaan tindak balas kecemasan adalah di tahap yang tinggi,” ujar Penasihat Tindakan Kecemasan HSE, BSP, Mejar (B) Alizamri bin Haji Abdul Latif.

Awang Zaeri ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis tersebut.
Awang Zaeri ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis tersebut.
Mejar (B) Alizamri ketika memberi penjelasan mengenai senario latihan tersebut.
Mejar (B) Alizamri ketika memberi penjelasan mengenai senario latihan tersebut.
Antara yang hadir semasa taklimat tersebut diadakan.
Antara yang hadir semasa taklimat tersebut diadakan.

Menurut beliau, senario latihan itu melibatkan keupayaan tindak balas kecemasan organisasi-organisasi tersebut yang terlibat dalam peristiwa malang, di mana sebuah kapal BGC mengalami gangguan masalah ketika cuba berlabuh lalu melanggar jeti milik Brunei LNG, menyebabkan tumpahan minyak dan kecederaan krew di atas kapal.

Beliau menjelaskan memandangkan senario ‘insiden kecemasan’ tersebut berpotensi menyebabkan terjejasnya aset dan reputasi BSJV, kerosakan ke atas alam sekitar dan orang awam, agensi-agensi kerajaan juga terlibat, yang mana kuasa perundangan yang menangani mana-mana insiden bagi tumpahan minyak adalah di bawah kuasa NOSCOP yang dikendalikan oleh Jabatan Laut di Kementerian Perhubungan.

Ia turut melibatkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Belait (DDMC Belait), Jabatan Daerah Belait, yang mana Pegawai Daerah Belait adalah pengerusinya, memandangkan senario isu tersebut ‘berlaku’ di Daerah Belait.

“Penglibatan pada skala ini adalah amat besar justeru itu ia dilakukan setiap dua tahun sekali manakala BSJV juga akan melakukan latihan sebegini setiap tiga bulan jika latihan yang diadakan adalah di tahap skala yang kecil di mana mereka sudah melakukannya sebelum ini, jadi latihan kali ini adalah seperti satu latihan ulang kaji untuk mereka,” tambahnya lagi.

Dalam ucapan alu-aluan pada majlis pembukaan latihan berkenaan, Ketua Kecemasan dan Keselamatan, Brunei LNG, Awang Zaeri bin Zolkefri yang juga Penyelaras Bersama latihan tersebut berkata; “Kita perlu berada dalam mod pemikiran yang berbeza dan perlu berfikir cepat, bertindak pantas dan mempelajari secara tekun mengenai kecemasan protokol yang berbeza, untuk terus memahami Prosedur Operasi Standard yang sedia ada bagi kesediaan untuk sebarang kemungkinan.”

Beliau juga menyatakan latihan dua hari ini akan menjadi permulaan dan asas bagi ‘Live Exercise’ yang akan dijadualkan berlangsung pada Mei depan.

ARTIKEL YANG SAMA