PERTIWI Belait bantu tabung amal

PERTIWI Belait bantu tabung amal

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 15 Jun – Persatuan PERTIWI Daerah Belait, hari ini menyampaikan sumbangan $5,255.90 kepada Tabung Amal Anak-anak Yatim Daerah Belait dan Tabung Amal Daerah Belait.

Sumbangan itu disampaikan oleh pengerusi persatuan tersebut, Dayang Fatimah binti Tanji kepada Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Haji Othman di Pejabat Daerah Belait di sini.

Sejumlah $3,000 telah disumbangkan kepada Tabung Amal Anak-anak Yatim Daerah Belait dan selebihnya sejumlah $2,255 telah disumbangkan kepada Tabung Amal Daerah Belait.

Menurut Dayang Fatimah, sumbangan tersebut merupakan hasil kutipan Jualan Amal Hari Raya tahun lepas.

Dayang Fatimah menyerahkan sumbangan PERTIWI kepada Haji Haris.
Dayang Fatimah menyerahkan sumbangan PERTIWI kepada Haji Haris.

Sementara itu pada tahun ini, PERTIWI akan mengadakan Jualan Amal Hari Raya bermula pada 19 Jun ini bertempat di Dewan Pejabat Daerah cawangan Seria, bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam dan akan berakhir pada malam Hari Raya Aidilfitri.

Sumbangan seperti ini sedikit sebanyak akan dapat membantu mereka yang memerlukan terutama sekali anak-anak yatim untuk membuat persiapan menyambut Hari Lebaran nanti.

ARTIKEL YANG SAMA