PERTIWI Belait serah kutipan derma

PERTIWI Belait serah kutipan derma

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 16 Jun – Persatuan PERTIWI Daerah Belait, hari ini, telah menghulurkan sumbangan berjumlah $3,649.50 bagi Tabung Amal Anak-anak Yatim dan Tabung Amal Daerah Belait.

Sumbangan disampaikan oleh pengerusi persatuan Dayang Fatimah binti Tanji kepada Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Othman di majlis yang berlangsung di Pejabat Daerah Belait, di sini.

Daripada jumlah tersebut, $2,649.50 disumbangkan bagi Tabung Amal Anak-anak Yatim Daerah Belait manakala $1,000 lagi bagi Tabung Amal Daerah Belait.

Sumbangan merupakan hasil kutipan daripada Jualan Amal Hari Raya tahun lalu, yang mana jualan itu diadakan setiap tahun, dan sebahagian daripada hasil jualan adalah untuk kedua-dua tabung tersebut.

Pada tahun ini, jualan yang sama dijangka bermula pada 5 Julai 2015 di Dewan Pejabat Daerah cawangan Seria yang akan dibukakan untuk kunjungan orang ramai bermula pukul 10:00 pagi hingga 10:00 malam dan akan berakhir pada malam Hari Raya Aidilfitri.

Dayang Fatimah menyerahkan sumbangan kepada Haji Haris.
Dayang Fatimah menyerahkan sumbangan kepada Haji Haris.

Dengan adanya sumbangan seperti itu, sedikit sebanyak diharap akan dapat membantu mereka yang memerlukan terutama sekali anak-anak yatim dalam membuat persiapan menyambut hari lebaran.

Sementara itu Jawatankuasa Tabung Amal Anak-Anak Yatim dan Jawatankuasa Tabung Amal Daerah Belait sangat menghargai sumbangan daripada Persatuan PERTIWI dan turut mengalu-alukan mereka yang bermurah hati untuk sama-sama menderma kepada tabung-tabung berkenaan dengan menghubungi Jawatankuasa Tabung Amal Anak-Anak Yatim dan Jawatankuasa Tabung Amal Daerah Belait di Jabatan Daerah Belait pada bila-bila masa sewaktu pejabat dibuka.

ARTIKEL YANG SAMA