PERTIWI Daerah Belait anjur Jualan Amal jelang Hari Raya

PERTIWI Daerah Belait anjur Jualan Amal jelang Hari Raya

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 19 Jun – Jualan Amal Menjelang Hari Raya yang dianjurkan oleh PERTIWI cawangan Daerah Belait buat kali ke-31, kini dibukakan bagi kunjungan orang ramai hingga pada malam melihat anak bulan Syawal dengan majlis perasmiannya hari ini.

Hadir menyempurnakan perasmian jualan amal yang berlangsung di Dewan Pejabat Daerah, di sini, itu ialah isteri Pegawai Daerah Belait, Dayang Suraya binti Haji Mohd Salleh, yang seterusnya turut meninjau petak-petak jualan yang melibatkan penyertaan dalam kalangan ahli-ahli persatuan berkenaan.

Pengerusi Persatuan PERTWI cawangan Daerah Belait, Dayang Fatimah binti Tanji, dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa projek jualan amal menjelang Hari Raya itu merupakan aktiviti tahunan persatuan mereka dan pada tahun ini penyertaan yang berniaga semakin meningkat iaitu seramai 36 orang.

Menurutnya, jualan tersebut antara lain bertujuan untuk memberikan peluang kepada ahli-ahli persatuan untuk berniaga cara bermusim, khususnya jualan persiapan hidangan Hari Raya Aidilfitri.

Dayang Suraya menyempurnakan perasmian Jualan Amal Menjelang Hari Raya Aidilfitri anjuran Persatuan PERTIWI cawangan Daerah Belait.
Dayang Suraya menyempurnakan perasmian Jualan Amal Menjelang Hari Raya Aidilfitri anjuran Persatuan PERTIWI cawangan Daerah Belait.

Di samping itu, katanya, ia juga adalah untuk kutipan sumbangan Tabung Anak-anak Yatim dan Tabung Amal Daerah Belait, yang mana 10 peratus daripada hasil jualan akan disumbangkan kepada kedua-dua tabung berkenaan.

Beliau seterusnya menjelaskan bahawa setiap peserta jualan dimestikan untuk membuat pemeriksaan kesihatan, selain disampaikan taklimat seperti pemantauan bahan-bahan yang digunakan, kebersihan, pembungkusan dan sebagainya.

Jualan Amal tersebut, akan dibukakan bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam dan akan berakhir pada malam melihat anak bulan Syawal.

Lebih 300 jenis biskut dan lebih 40 beraneka jenis kek dijual. Di samping itu, jualan berkenaan turut mengetengahkan produk acar, dodol, serunding, gubahan bunga dan sebagainya, malah orang ramai boleh membuat tempahan melalui ahli-ahli yang ikut serta.

ARTIKEL YANG SAMA