PERTIWI lantik AJK 2016-18

PERTIWI lantik AJK 2016-18

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mei – Lebih 30 orang terdiri daripada kaum wanita ahli Persatuan PERTIWI, hari ini, telah memilih ahli jawatankuasa (AJK) Tertinggi 2016-2018 pada Mesyuarat Agung kali ke-27 yang diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC) Berakas.

Mesyuarat yang dihadiri oleh ahli-ahli PERTIWI dari Daerah Brunei dan Muara, Belait dan Temburong itu dihasratkan agar mereka memanfaatkan peluang dalam memilih ahli-ahli jawatankuasa tertinggi bagi mentadbir dan memandu hala tuju persatuan itu.

Pada mesyuarat itu, Pengerusi Tetap Persatuan Pertiwi, Datin Paduka Hajah Jusnani binti Haji Lawie semasa ditemui hari ini berkata, “Mesyuarat agung ini diadakan setiap dua tahun sekali yang antara lain bertujuan untuk menilai kegiatan yang telah dilaksanakan sepanjang tempoh dua tahun itu selain turut menilai sumber kewangan, perbelanjaan dan sumber pendapatan persatuan berkenaan.”

Katanya lagi, mesyuarat ini memberi peluang kepada mereka untuk memilih ahli jawatankuasa baru untuk tiga tahun akan datang dan dengan pemilihan ahli baru ini, ia akan dapat membawa persatuan untuk lebih bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti.

Antara ahli persatuan yang hadir pada mesyuarat agung tersebut.
Antara ahli persatuan yang hadir pada mesyuarat agung tersebut.
Datin Paduka Hajah Jusnani semasa ditemu bual media.
Datin Paduka Hajah Jusnani semasa ditemu bual media.

Datin Paduka Hajah Jusnani seterusnya berharap, ahli baru yang mentadbir persatuan ini akan dapat menjadi satu pasukan pentadbiran yang mempunyai kewibawaan dengan penuh berwawasan serta mempunyai pelan strategik yang boleh membawa kemajuan kepada persatuan ini.Antara agenda yang dibincangkan pada mesyuarat itu termasuk penelitian, pembetulan dan meluluskan Minit Mesyuarat Agung ke-26 selain membincangkan perkara berbangkit dalam minit lalu seterusnya mendengar laporan daripada setiausaha agung, daerah-daerah dan bendahari agung.