Pertolongan cemas untuk semua

Pertolongan cemas untuk semua

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 23 Sept – Dalam usaha memberigakan pentingnya pengetahuan pertolongan cemas kepada masyarakat supaya dapat dijadikan sebagai keutamaan dalam menyelamat nyawa, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam telah memilih tema Pertolongan Cemas Untuk Semua dan Di Mana Sahaja bagi Sambutan Hari Pertolongan Cemas Sedunia.

Pelancaran sambutan berkenaan telah diadakan di Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC) di sini, hari ini, di mana hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan pelancaran ialah Ketua Pegawai Perubatan di Pusat Kesihatan Panaga, Dr. Ahmad Fakhri bin Haji Junaidi.

Majlis yang dianjurkan bersama PBSM Daerah Belait dan Persatuan PEMBELA dengan kerjasama Akademi Bulan Sabit Merah (ABSM) Negara Brunei Darussalam, itu disertai sama oleh wakil dari jabatan-jabatan kerajaan, sekolah rendah dan menengah, kampung-kampung dan mukim di Daerah Belait serta wakil-wakil daripada badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Sambutan Hari Pertolongan Cemas Sedunia diadakan setiap tahun dan pada tahun ini, pendekatannya lebih kepada penglibatan kalangan masyarakat, yang antara lain bertujuan untuk memberikan kesedaran betapa pentingnya pengetahuan pertolongan cemas sebagai keutamaan dalam menyelamatkan nyawa.

Selain itu, bagi memberikan pengetahuan serta pengalaman kepada masyarakat umum tentang tatacara pertolongan cemas dilakukan mengikuti kaedah dan prinsip asas.

Panel forum bergambar ramai bersama tetamu kehormat dan warga PBSM.
Panel forum bergambar ramai bersama tetamu kehormat dan warga PBSM.

Di samping itu, ia juga bagi mempromosikan kursus pertolongan cemas yang disediakan oleh ABSM, serta sebagai salah satu khidmat masyarakat yang diberikan oleh PBSM di negara ini kepada masyarakat setempat dan merupakan salah satu program CARE (Community and Resilience Enpowerment).

Majlis diisikan dengan mengadakan Bicarawara Perdana (forum) oleh ABSM bertajuk Pertolongan Cemas Untuk Semua Dalam Komuniti dan Tatacara Rawatan Asas Pertolongan Cemas, kemudian disambung lagi pada sebelah petang de-ngan Taklimat Modul RC dan Pertolongan Cemas bagi ahli-ahli jawatankuasa eksekutif Daerah Belait dan para jemputan.

Setiausaha Agung merangkap Pengetua ABSM, Sheikh Haji Abdul Kadir bin Abdullah, semasa ditemui Media Permata menjelaskan, Hari Pertolongan Cemas diraikan buat kali kedua di negara ini.

Pada tahun lepas, ujarnya, ia dilancarkan di Daerah Brunei dan Muara dengan melibatkan penunggang-penunggang motosikal dan pada tahun ini pendekatannya lebih kepada penglibatan kalangan masyarakat.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai Akademi Pertolongan Cemas, yang menurutnya ditubuhkan tahun lalu dan menerima pengiktirafan daripada Persekutuan Antarabangsa Persatuan-persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC).

Pada tahun ini, tambahnya, akademi berkenaan mula bergerak dengan mengadakan pelbagai kursus dan bengkel latihan seminar dan sebagainya.

Menurutnya lagi, melalui seminar dan forum yang diadakan hari ini, akan disusuli dengan memberikan kursus-kursus singkat dan intensif secara pengiktirafan dan persijilan.

PBSM memberikan dua jenis latihan iaitu seminar kepada masyarakat, NGO, syarikat-syarikat yang berkepentingan dan juga mengendalikan kursus pensijilan atau profesional mengikut piawaian keselamatan termasuk kepada syarikat-syarikat swasta yang mengamalkan keselamatan di tempat kerja.

Beliau berkata, ABSM telah menyasarkan untuk melatih sekurang-kurangnya 1,000 orang masyarakat yang berpengetahuan dalam perkhidmatan pertolongan cemas menjelang 2017.

“Pada tahun ini, dengan kerjasama Kementerian Kesihatan, Kementerian Perhubungan serta agensi-agensi awam dan sektor swasta, PBSM telah melatih sekurang-kurangnya lebih 500 orang, dan kami optimis untuk mencapai sasaran sehingga 1,000 orang dengan lebih kepada mendekati masyarakat kampung, belia-belia dan sebagainya,” ujarnya.

ABSM menawarkan pelbagai kursus latihan pertolongan cemas seperti CPR iaitu gabungan khidmat pertolongan cemas pernafasan dari mulut ke mulut dan tekanan dada serta sebagainya untuk membolehkan penduduk di negara ini bertindak dan mampu menguruskan kecemasan.

ARTIKEL YANG SAMA