Pertubuhan Fotografi semarakkan Hari Raya Korban

Pertubuhan Fotografi semarakkan Hari Raya Korban

Oleh HAL

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Sept – Bagi menyemarakkan suasana Hari Raya Aidiladha yang penuh berkat dan mengeratkan lagi ukhuwah tali persahabatan sesama ahli, Pertubuhan Fotografi Negara Brunei Darussalam (PFNBD) buat kali ketiga telah mengadakan majlis korban sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Seramai 14 ahli pertubuhan turut serta menjayakan majlis yang mengorbankan dua ekor kerbau di kediaman Naib Yang Di-Pertua PFNBD, Haji Kahan bin Haji Nasir di Kampung Bengkurong.

Majlis ibadah korban ini merupakan aktiviti tahunan PFNBD, di mana pada tahun 2014 ia diadakan di Kampung Luagan Dudok, Daerah Tutong dan tahun 2015 pula diadakan di Kampung Kapok, Daerah Brunei dan Muara.

Tempat-tempat bagi mengadakan acara majlis korban ini menurut Yang Di-Pertua PFNBD, Awang Hamidun bin Haji Mohd Noor, akan diadakan secara bergilir-gilir di semua daerah yang terpilih.

Awang Hamidun ketika menyampaikan daging korban kepada Haji Talib.
Awang Hamidun ketika menyampaikan daging korban kepada Haji Talib.

Kejayaan PFNBD mengadakan majlis tersebut menurut Awang Hamidun adalah kerana kerjasama padu ahli jawatankuasa kerja, Jawatankuasa Tertinggi PFNBD serta ahli-ahlinya dan beliau berharap semoga aktiviti seperti ini dapat dikekalkan demi kemajuan pertubuhan.

Hadir selaku tetamu khas pada majlis itu ialah Ketua Kampung Bengkurong, Haji Talib bin Haji Bakar yang turut menyampaikan daging-daging korban kepada 24 orang penerima.

ARTIKEL YANG SAMA