Pertuduhan tambahan 9 Julai ini

Pertuduhan tambahan 9 Julai ini

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Jun – Seramai lapan orang kakitangan dan bekas kakitangan Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) dihadapkan ke Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Majistret secara berasingan, hari ini untuk sebutan di mana Pendakwa Raya Dato Seri Setia Davindher Singh dari Drew & Napier LLC, Singapura memohon kepada kedua-dua mahkamah untuk sebutan ditangguhkan pada 9 Julai.

Pendakwa Raya memberitahu mahkamah bahawa penangguhan adalah untuk membuat pertuduhan tambahan untuk setiap tertuduh. Bekas Penyelia Operasi Kanan BSP di Bahagian Operasi Pengeluaran (POP), Terminal Minyak Mentah Seria (SCOT), Awang Salehan bin Haji Marsal dihadapkan ke Mahkamah Tinggi atas 21 pertuduhan dengan secara tidak jujur menerima wang suapan $154,000 sebagai ganjaran untuk meluluskan tuntutan pembelian dan menandatangani nota penghantaran bagi pembelian bahan-bahan kimia untuk BSP antara April 2007 dan Disember 2008.

Bekas Penjadual Daratan BSP di Bahagian Operasi Timur, Awang Muhammad Azam Zaki bin Haji Zain turut dihadapkan ke Mahkamah Tinggi atas lima kesalahan menerima wang suapan berjumlah $88,200 sebagai ganjaran membuat tempahan kerja bagi pembelian bahan-bahan kimia untuk BSP antara Julai dan September 2008. Sementara Bekas Sokongan Rangkaian Pembekalan di Pengurusan Rangkaian Pembekalan BSP (SCM), Dayang Aidah binti Tengah pula menghadapi tujuh pertuduhan kerana menerima sejumlah wang suapan berjumlah $117,500 untuk membuat pesanan pembelian bagi pembelian bahan-bahan kimia untuk BSP antara Mei 2008 dan April 2009.

Dalam sebutan itu, Dayang Aidah diwakili oleh Peguam Haji Mohd Rozaiman bin DSLJ Haji Abd Rahman manakala Awang Salehan dan Awang Muhammad Azam Zaki diwakili Peguam Ahmad Zakaria.

Ikat jamin $20,000 atau dua penjamin tempatan bagi ketiga-tiga tertuduh dilanjutkan oleh Hakim Dato Paduka Steven Chong.

Sementara di Mahkamah Majistret, seorang lagi Bekas Sokongan Rangkaian Pembekalan BSP di SCM, Hajah Latifah binti Junaidi menghadapi 35 pertuduhan menerima wang suapan $36,073 untuk membuat pesanan pembelian pelbagai peralatan kese lamatan kecemasan untuk BSP antara Mac 2008 dan Januari 2009.

Hajah Asnah binti Haji Sairan yang berjawatan Bekas Sokongan Rangkaian Pembekalan (Seismik/Geomatik) di SCM pula menghadapi enam pertuduhan kerana secara tidak jujur menerima $20,100 untuk membuat pesanan pembelian bagi barang-barang industri untuk BSP antara April dan November 2008.

Penjaga Stor di Bahagian Sokongan, Pemindahan & Logistik BSP, Awang Mohd Faisal bin Haji Ismail menghadapi 10 tuduhan menerima wang rasuah $24,750 untuk membuat tempahan dan juga menandatangani nota penghantaran bagi pembelian bahan-bahan kimia untuk BSP antara November 2007 dan Ogos 2009.

Seorang lagi kakitangan BSP, Awang Sabeli bin Ismail yang bekerja sebagai Pentadbir Kanan Platform Luar Pesisir di Operasi Barat (WOP) didakwa dengan enam pertuduhan menerima wang sejumlah $30,250 sebagai ganjaran untuk membuat tempahan kerja bagi pembelian bahan-bahan kimia untuk BSP antara Julai dan Oktober 2008.

Awang Rosli bin Simon yang bekerja sebagai Bekas Mandur Pengeluaran BSP di POP, SCOT didakwa bagi 6 pertuduhan menerima wang suapan berjumlah $63,800 untuk membuat permintaan bagi pembelian barang-barang di Syarikat Musfada Enterprise dan menandatangani nota penghantaran bagi pembelian peralatan keselamatan untuk BSP antara Oktober dan November 2005.

Peguam Haji Mohd Rozaiman mewakili Awang Sabeli manakala Dayang Hajah Latifah dan Awang Rosli diwakili Peguam Haji Ahmad Zakaria.

Dalam sebutan hari ini, Peguam Haji Ahmad Zakaria yang terdahulu turut mewakili Awang Mohd Faisal memberitahu mahkamah dia tidak akan mewakili tertuduh mulai hari ini.

Ikat jamin $10,000 atau dua orang penjamin tempatan untuk setiap tertuduh dilanjutkan oleh Pemangku Majistret Kanan, Azrimah binti Haji Abdul Rahman.

ARTIKEL YANG SAMA