Pertukaran budaya pelajar Afrika

Pertukaran budaya pelajar Afrika

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 5 Ogos – Sebagai sebahagian daripada program inisiatif pertukaran budaya Pusat Penjagaan Amitofo (Amitofo Care Centre), 18 orang kanak-kanak dari Lesotho, Afrika kini berada di Negara Brunei Darussalam bagi lawatan cuti dan kunjungan ke sekolah-sekolah untuk membuat persembahan nyanyian serta tarian tradisi dari negara mereka.

Rombongan ini ditemui semasa mereka membuat persembahan di hadapan pelajar-pelajar di Dewan Serba guna Sekolah Menengah Chung Ching, Seria hari ini selepas mengadakannya di Sekolah Menengah Chung Hua di Kuala Belait baru-baru ini.

Dalam temu ramah bersama Media Permata dengan salah seorang sukarelawan dari pusat tersebut Sasha Low dari Malaysia berkata, sepanjang musim cuti sejuk di Afrika ketika ini selama tiga bulan, rombongan mereka telah melawat ke negara-negara di Asia Tenggara seperti Thailand, Singapura, Malaysia, Indonesia, Australia dan New Zealand bagi mempelajari budaya-budaya tradisi di negara tersebut dan membuat persembahan kepada orang ramai mengenai apa yang telah mereka pelajari sepanjang kunjungan ini.

Murid-murid Sekolah Menengah Chung Ching terhibur dengan persembahan pelajar-pelajar dari Afrika itu.
Murid-murid Sekolah Menengah Chung Ching terhibur dengan persembahan pelajar-pelajar dari Afrika itu.
Sebahagian pelajar dari Afrika membuat persembahan nyanyian.
Sebahagian pelajar dari Afrika membuat persembahan nyanyian.

“Pusat Penjagaan Amitofo mempunyai dua buah sekolah yang lain terletak di Negara Swaziland dan juga Malawi, dan sekolah yang baru akan dibina di Namibia pada masa akan datang dan sekolah-sekolah ini menempatkan sebanyak 3,000-5,000 pelajar-pelajar anak-yatim. Mereka juga dibawa berkunjung ke luar negara bagi mempelajari bahasa ibunda negara-negara yang dilawati dan membuat persembahan nyanyian dalam bahasa itu,” kata Sasha.

Lawatan diharapkan dapat menjadi perkongsian mereka dengan rakan pelajar lain di negara mereka serta menggalakkan mereka mempelajari budaya dan tradisi serta bahasa ibunda dari negara lain.

ARTIKEL YANG SAMA