Pertumbuhan Asia Timur & Pasifik susut 6.7 %

Pertumbuhan Asia Timur & Pasifik susut 6.7 %

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) – Bank Dunia menjangka pertumbuhan rantau Asia Timur dan Pasifik yang termasuk Malaysia susut kepada 6.7 peratus tahun ini dan kekal stabil dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Rantau itu, pengimport bersih minyak, dijangka mendapat manfaat daripada harga minyak rendah,” kata Bank Dunia dalam laporan terbaharu Global Economic Prospects (GEP).

Bagaimanapun, pengeksport komoditi seperti Malaysia dan Indonesia dijangka berdepan tekanan daripada harga rendah minyak, gas, arang batu, minyak sawit dan getah global.

Mengenai prospek masa depan, Bank Dunia mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang 4.7 peratus tahun ini kerana harga minyak rendah menjejaskan pelaburan dalam sektor minyak dan gas dan pertumbuhan kredit terus perlahan.

Di rantau ini kecuali China, unjuran pertumbuhan ialah 4.9 peratus pada 2015 dan 5.4 peratus pada 2016, dipacu oleh ekonomi-ekonomi ASEAN.

“Kelembapan berterusan di China dijangka diimbangi peningkatan ekonomi negara-negara lain di rantau ini, yang mendapat manfaat daripada pemulihan kukuh di negara-negara maju, harga tenaga rendah, kestabilan ekonomi yang bertambah baik, dan kecairan besar dalam pasaran kewangan global, meskipun jangkaan dasar monetari ketat di Amerika Syarikat,” kata laporan itu.

Bank Dunia mengunjurkan ekonomi China berkembang sederhana kepada 7.1 peratus pada 2015 dan 7.0 peratus pada 2016.

Bagi negara membangun secara keseluruhannya, laporan itu menyatakan mereka mungkin berdepan prospek kos pinjaman tinggi dalam menyesuaikan diri dengan era baharu harga rendah minyak dan komoditi lain yang dijangka membawa kepada pertumbuhan ekonomi 2015 yang mengecewakan bagi tahun keempat berturut-turut.

Ini terutamanya akan menjejaskan pasaran sedang pesat membangun dengan prospek pertumbuhan yang lemah.

“Melainkan pasaran sedang pesat membangun mengambil langkah dasar berhemat untuk mengukuhkan fiskal, mereka mungkin berdepan cabaran besar dalam menangani kegawatan dan kejatuhan lain berkait dengan dasar ketat Rizab Persekutuan AS,” kata Pengarah Prospek Pembangunan Bank Dunia, Ayhan Kose.