Pertumbuhan ekonomi AS lemah

Pertumbuhan ekonomi AS lemah

WASHINGTON, 29 April – Ekonomi AS bergelut pada suku pertama 2016 kepada pertumbuhan paling lemah dalam dua tahun tatkala pengguna dan perniagaan mengurangkan perbelanjaan.

Ekonomi bertumbuh pada kadar tahunan yang lebih perlahan daripada dijangka sebanyak 0.5 peratus pada suku, kata Jabatan Perdagangan semalam. Ia adalah kadar paling lemah sejak suku pertama 2014, dan di bawah anggaran penganalisis sebanyak 0.9 peratus.

Perkembangan tidak seberapa dalam keluaran dalam negara kasar, pengukur luas pengeluaran ekonomi, menyusuli kadar sederhana sebanyak 1.4 peratus dalam suku keempat dan 2.0 peratus dalam suku ketiga.

“Ekonomi AS mengalami keadaan sukar pada awal tahun, dengan pertumbuhan KDNK mencatat kurang 1.0 peratus dalam tempoh dua suku lalu,” kata Harm Bandholz daripada UniCredit Economics.

Penganalisis melihat kenaikan terbaru dalam harga minyak mentah sebagai berpotensi mengurangkan kesan kemerosotan harga yang telah menjejas industri minyak, sekaligus memaksa pemotongan besar dalam pelaburan dalam sektor berkenaan.

Gambar fail bertarikh 20 Januari 2016 menunjukkan pelanggan yang berada di Safeway Bowie, Maryland. – AFP
Gambar fail bertarikh 20 Januari 2016 menunjukkan pelanggan yang berada di Safeway Bowie, Maryland. – AFP

“Satu lagi suku pertama lemah mungkin disusuli oleh pertumbuhan yang lebih kukuh pada tahun ini – seperti yang telah berlaku dalam beberapa tahun lalu,” kata Nariman Behravesh, ketua ahli ekonomi di HIS Global Insight, meramalkan satu pemulihan kepada pertumbuhan sekurang-kurangnya 2.0 peratus dalam suku kedua.

Anggaran pertama KDNK Jabatan Perdagangan, diikuti oleh dua lagi anggaran, juga tidak harus diterima bulat-bulat disebabkan masalah berlarutan dalam menyelaras data untuk kesan bermusim pada suku pertama, kata penganalisis.

“Nampak suram, namun suku kedua adalah jauh lebih baik,” kata Ian Shepherdson, ketua ahli ekonomi di Pantheon Macrieconomics. Penghalang utama dalam pertumbuhan suku pertama adalah pelaburan perniagaan, yang merosot pada kadar paling pesat, 5.9 peratus, sejak 2009 di tengah Kemelesetan Besar. Perbelanjaan ke atas struktur merosot untuk suku ketiga berturut-turut. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA