Pertumbuhan harga kediaman Asia lebih rendah berbanding purata global

Pertumbuhan harga kediaman Asia lebih rendah berbanding purata global

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) – Pasaran perumahan arus perdana Asia mencatat pertumbuhan harga tahunan 1.9 peratus pada 2015, turun 1.1 peratus, berbanding tiga peratus purata global, kata Indeks Harga Rumah Global Knight Frank untuk suku keempat (Q4) 2015.

Indeks itu memantau dan membandingkan prestasi pasaran perumahan arus perdana di 55 buah negara di seluruh dunia.

Dalam satu kenyataan, Ketua Penyelidik Untuk Asia Pasifik Knight Frank, Nicholas Holt berkata, Taiwan dan Singapura menyaksikan pertumbuhan negatif dalam harga rumah untuk beberapa suku diikuti Hong Kong di mana pasaran harga perumahan susut 3.7 peratus pada Q4 2015.

“Ketika prospek pertumbuhan jangka panjang kekal positif, ketidaktentuan ekonomi yang berterusan di rantau ini mungkin memberi tekanan kepada sentimen pasaran perumahan dalam jangka pendek,” kata Holt.

Sementara itu, Rakan Kongsi Penyelidikan Perumahan Antarabangsa Knight Frank, Kate Everett-Allen berkata, Australasia adalah rantau berprestasi tertinggi di dunia untuk pertumbuhan harga rumah, dengan mencatat 12.4 peratus pada 2015.

“Ia disokong oleh prestasi kukuh di New Zealand dan Australia, dengan kedua-duanya mencatat pertumbuhan harga tahunan melepasi 10 peratus.

ARTIKEL YANG SAMA