Pertumbuhan industri China meningkat

Pertumbuhan industri China meningkat

BEIJING, 13 Sept (AFP) – Pertumbuhan dalam pengeluaran industri dan jualan runcit di China meningkat pada Ogos, data kerajaan menunjukkan hari ini, di tengah kebimbangan antarabangsa yang semakin bertambah mengenai prospek untuk ekonomi kedua terbesar di dunia itu.

Keluaran industri, yang mengukur pengeluaran di kilang, bengkel dan lombong, naik 6.1 peratus tahun-ke-tahun, umum Biro Statistik Negara (NBS).

Ia mengatasi pertambahan sebanyak 6.0 peratus pada Julai, namun kurang daripada ramalan sebanyak 6.5 peratus dalam satu tinjauan ke atas ahli ekonomi oleh Bloomberg News. Jualan runcit meningkat 10.8 peratus pada Ogos berbanding setahun sebelumnya, kata NBS.

Ia melebihi 10.5 peratus pada bulan sebelumnya dan juga mengatasi anggaran dalam tinjauan Bloomberg sebanyak 10.6 peratus.

Angka tersebut merupakan gambaran terbaru negara gergasi Asia, penjana utama pertumbuhan ekonomi global, selepas beberapa petunjuk mengecewakan pada suku ketiga.

Beberapa wanita ketika memilih bahan sutera di pintu masuk sebuah kedai di kawasan perniagaan di Beijing pada 13 September. Pertumbuhan dalam pengeluaran industri dan jualan runcit China kedua-duanya meningkat pada Ogos. – AFP
Beberapa wanita ketika memilih bahan sutera di pintu masuk sebuah kedai di kawasan perniagaan di Beijing pada 13 September. Pertumbuhan dalam pengeluaran industri dan jualan runcit China kedua-duanya meningkat pada Ogos. – AFP

Ekonomi China berkembang 7.3 peratus pada 2014, prestasi paling lemahnya dalam 24 tahun, dan pertumbuhan telah menjadi lembap setakat ini pada tahun ini. Keluaran dalam negara kasar (KDNK) meningkat 7.0 peratus dalam setiap dua suku pertama tahun ini.

Pihak berkuasa sedang menyasarkan pertumbuhan sebanyak 7.0 peratus pada tahun ini, walaupun ahli ekonomi melihat matlamat tersebut sebagai sukar untuk dicapai berdasarkan kelemahan yang berlaku baru-baru ini.

Pelaburan aset tetap, pengukur perbelanjaan kerajaan ke atas infrastruktur, bertambah 10.9 peratus dalam tempoh Januari-Ogos, kata NBS, di bawah ramalan pertambahan sebanyak 11.2 peratus.

Angka terbaru dan tinjauan persendirian menunjukkan pengeluaran sedang mengecut, sementara data inflasi yang dikeluarkan pada Khamis menunjukkan harga pengguna naik tetapi harga kilang mengalami deflasi untuk bulan ke-42 berturut-turut dan merosot pada kadar paling cepat dalam enam tahun.

Prospek untuk ekonomi China telah menjadi semakin penting disebabkan kelemahan dalam kebanyakan pasaran membangun.

China menyumbang kepada lebih 14 peratus daripada ekonomi global, menurut Tabung Mata Wang Antarabangsa dan Bank Dunia.

Pihak berkuasa telah menghadapi dan mengatasi secara agresif dengan ekonomi meleset, memotong kadar faedah lima kali sejak November lalu serta mengurangkan syarat-syarat simpanan bank untuk merangsang pinjaman.

ARTIKEL YANG SAMA