Pertumbuhan KDNK 4.6 peratus pada 2016 – CIMB

Pertumbuhan KDNK 4.6 peratus pada 2016 – CIMB

KUALA LUMPUR, 1 Jan (Bernama) – Kumpulan CIMB menjangka pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia rendah sedikit pada 4.6 peratus bagi 2016.

Persekitaran operasi akan terus mencabar untuk separuh pertama tahun depan dan kesan kenaikan kos sara hidup, kelembapan ringgit, peningkatan pengangguran dan kawalan kredit lebih ketat akan menyebabkan perbelanjaan pengguna kekal lemah.

Bagaimanapun, pelaburan tetap dijangka bertambah baik berikutan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-11 dan ini akan membantu mengimbangi sedikit momentum perbelanjaan pengguna yang berkurangan bagi memastikan permintaan domestik kekal teguh.

Ketua eksekutif kumpulan CIMB, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.
Ketua eksekutif kumpulan CIMB, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.

Dalam pada itu, mengenai prospek sektor perbankan, Ketua Eksekutif Kumpulan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, dalam satu kenyataan berkata bank-bank Malaysia pada amnya akan stabil pada 2016.

“Kami menjangka pertumbuhan keuntungan bersih 11.2 peratus, bersandarkan unjuran kami kenaikan pendapatan faedah bersih sebanyak 6.9 peratus dan kenaikan pendapatan bukan faedah 9.5 peratus.

“Kami bersetuju dengan Fitch Ratings bahawa terdapat tekanan terhadap kualiti aset bank, justeru nisbah pinjaman terjejas dijangka meningkat pada 2016, namun peningkatan itu tidaklah signifikan,” katanya.