Pertumbuhan KDNK China perlahan kepada 6.9 peratus

Pertumbuhan KDNK China perlahan kepada 6.9 peratus

BEIJING, 19 Okt – Ekonomi China mencatatkan pertumbuhan 6.9 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga tahun ini, susut tujuh peratus yang dicatatkan pada separuh pertama tahun ini, menurut laporan media milik kerajaan.

Pada tiga suku pertama tahun ini, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah 48.78 trilion yuan, naik 6.9 peratus tahun ke tahun, Agensi Berita Xinhua memetik Biro Perangkaan Kebangsaan (NBS).

Katanya ini adalah kali pertama kadar pertumbuhan suku tahunan merosot di bawah tujuh peratus sejak suku kedua 2009.

Faktor global berikutan pemulihan ekonomi dunia telah memberi kesan kepada China, agensi berita itu memetik jurucakap NBS Sheng Laiyun.

“Jangkaan kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat mendorong ketidak-tentuan harga komoditi, saham dan pasaran mata wang asing. Banyak negara mengalami susut nilai mata wang mereka, memberi lebih tekanan kepada eksport China, antara tiga tonggak pertumbuhan ekonomi China,” menurut Sheng.

Xinhua berkata pertumbuhan eksport China turun 7.9 peratus tahun ke tahun pada tiga suku pertama kepada 17.87 trilion yuan.

Katanya dalam tempoh sembilan bulan pertama, pengeluaran industri naik 6.2 peratus tahun ke tahun dan pelaburan aset tetap menokok 10.3 peratus. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA