Pertumbuhan KDNK Vietnam merosot

Pertumbuhan KDNK Vietnam merosot

HANOI, 29 Jun (AFP) – Ekonomi Vietnam meleset dalam separuh tahun pertama 2016, angka rasmi menunjukkan hari ini, dengan kemarau serantau yang teruk dan kematian ikan menambah kepada kerugian yang berpunca daripada kekacauan dalam pasaran global.

Pertumbuhan KDNK merosot kepada 5.52 peratus dalam tempoh enam bulan pertama berbanding dengan 6.32 peratus dalam tempoh yang sama tahun lalu. Negara itu bertumbuh pada kadar paling pesatnya untuk lima tahun pada 2015 disebabkan eksport yang kukuh dan beberapa siri pelaburan asing.

“Perniagaan dan pelaburan global yang kurang aktif dan krisis yang tidak diramalkan dalam pasaran kewangan dan mata wang dunia telah mempengaruhi ekonomi kami,” kata Pejabat Statistik Am (GSO) dalam satu kenyataan hari ini.

Pengeluaran domestik juga terjejas oleh kemarau paling teruk di rantau dalam beberapa dekad, yang menjejas penanam padi dan kopi Vietnam dan menelan kos AS$681 juta, menurut GSO.

Ekonomi menerima satu lagi tamparan hebat daripada kerugian ikan yang besar di sepanjang pantai negara yang masih belum dijelaskan sepenuhnya.

“Kemarau dan pemasinan yang serius di Central Highlands dan Delta Mekong serta kematian ikan besar-besaran di tengah pantai telah menimbulkan kesan besar ke atas pengeluaran dan kehidupan penduduk,” kata pejabat yang berpangkalan di Hanoi.

Bertan-tan ikan mati dan hidupan laut lain mulai terdampar di tengah pantai dua bulan lalu dan terus muncul selama dua hingga tiga minggu.

Bencana alam sekitar telah mengejutkan nepalan tempatan dan menjejas pelancongan di kawasan itu, sementara juga mencetuskan bantahan di seluruh negara.

Aktivis telah menyalahkan konglomerat Taiwan Formosa, yang mengendali sebuah kilang keluli di kawasan berkenaan di mana ikan telah mati dan mempunyai rekod alam sekitar yang lemah di seluruh dunia.

ARTIKEL YANG SAMA