Pertumbuhan Labuan dijangka pulih

Pertumbuhan Labuan dijangka pulih

LABUAN, 3 Feb – Labuan dijangka mencatat kembali pertumbuhannya berikutan momentum pelaburan yang kian ketara biarpun sektor minyak dan gas (O&G) wilayah itu terjejas akibat ketidaktentuan ekonomi global, kata Ahli Parlimennya, Datuk Rozman Isli.

“Kita juga tidak berdepan kemelesetan ekonomi kerana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kekal kukuh.

“Malah, harga minyak yang menyebabkan penyusutan ringgit akan pulih secara positif,” katanya pada majlis pelancaran rasmi gerai penjaja Victoria di Sg Keling yang pertama berkonsepkan 1Malaysia di Labuan, di sini.

Mengimbau cabaran lampau Labuan, Rozman berkata, pada 1980-an misalnya, beribu-ribu pekerja Sabah Shipyards Sdn Bhd terpaksa diberhentikan manakala 2,000 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) meninggalkan pulau itu selepas pangkalan tentera mereka dipindahkan ke Sepanggar, Sabah.

Biarpun bilangan mereka yang bertugas di Labuan adalah terhad ketika itu, ia ternyata tidak menghalang pemulihan Labuan dengan pertumbuhan ekonominya dipacu perkembangan sektor O&G, katanya.

Jelas Rozman yang juga Pengerusi Perbadanan Labuan (LC), Labuan tidak hanya memerlukan pelaburan dalam O&G, tetapi juga bagi sektor pelancongan dan pendidikan.

Ekonomi Labuan juga ternyata berdaya tahan ketika berdepan kelembapan ekonomi pada masa lampau dan kembali mampan apabila pelaburannya kembali mencatat momentum.

“Kita mahu melihat sektor pelancongan dan pendidikan menjadi teras ekonomi dan memerlukan bantuan pelabur untuk merangsang pertumbuhan itu,” katanya.

Selain itu, Rozman berkata, sebagai pihak berkuasa tempatan, LC akan terus berperanan sebagai pemudah cara bagi isu pelaburan dan pembangunan keusahawanan. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA