Pertumbuhan mapan di Sabah

Pertumbuhan mapan di Sabah

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Hanya tinggal empat tahun sahaja lagi bagi Malaysia menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi, usaha yang lebih hebat diperlukan untuk menangani cabaran pertumbuhan sewajarnya dan memastikan pertumbuhan inklusif dan mampan di Sabah.

Kementerian Kewangan (MoF) berkata dengan sumber semula jadi yang banyak serta kedudukannya yang strategik, Sabah berpotensi besar untuk mengembangkan pertumbuhan ekonominya.

“Sabah mempunyai penduduk yang dianggarkan seramai 3.8 juta, ia menyumbang kira-kira 6.5 peratus kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, bersamaan dengan RM66 bilion pada 2014,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahan pula, Lebuhraya Pan Borneo, yang bermula dalam daerah Sematan di Sarawak, akan menambah akses ke kawasan pertumbuhan ekonomi dan memesatkan lagi pembangunan di kedua-dua negeri, katanya.

“Projek-projek yang dilaksanakan di Sabah dan Sarawak bersama program-program yang sedang dijalankan di bawah Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi dan Program Transformasi Luar Bandar serta inisiatif yang diumumkan dalam belanjawan tahunan dijangka menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat dan mewujudkan peluang pekerjaan.

“Kerajaan juga akan terus memastikan pembangunan yang seimbang dan adil untuk semua negeri,” kata kementerian itu lagi. – Bernama