Pertumbuhan pesat kewangan Islam cerminkan kematangan penuhi keperluan

Pertumbuhan pesat kewangan Islam cerminkan kematangan penuhi keperluan

KUALA LUMPUR, 15 Nov – Industri kewangan Islam terus mengukuh dan memperoleh kepercayaan, mencatat pertumbuhan global yang kukuh antara 10 dan 12 peratus setahun sejak sedekad lepas, kata Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Muhammad Ibrahim.

Walaupun berhadapan persekitaran ekonomi dunia yang sangat mencabar, pertubuhan itu mencerminkan peningatan padu dan kematangan industri dalam memenuhi keperluan ekonomi, katanya. “Ketika kita melangkah ke era baharu pertumbuhan, hasrat kita untuk meningkatkan kecergasan industri memerlukan pemikiran baharu dalam mengharungi cabaran yang semakin meningkat dan yang muncul hasil kecanggihan teknologi.

“Dalam mengharungi cabaran ini dengan jayanya, antara prasyaratnya ialah pasukan bakat yang dinamik, boleh menyesuaikan diri dan berwawasan,” kata Muhammad dalam ucapan aluannya pada Malam Gala dan Penyampaian Anugerah Diraja Kewangan Islam 2016 kelmarin.

Anugerah dwitahunan ini yang diterajui Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, memperakui individu yang cemerlang dalam memajukan kewangan Islam di dunia, menerusi sumbangan dan pencapaian luar biasa mereka.

Bagi negara, gabenor berkata Malaysia telah banyak melabur dalam mendidik bakat yang dilengkapi kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk bersaing, berfikir dan melakukan inovasi. “Dalam membangunkan kewangan Islam sejak tiga dekad lepas, ekosistem infrastruktur menyeluruh khusus untuk pembangunan bakat telah disediakan,” katanya.

Untuk masa hadapan, Muhammad berkata kedudukan nilai yang belainan perlu terus diwujudkan bagi membolehkan kewangan Ialam mencapai tahap baharu pertumbuhan.

Bagi Malaysia, perlunya kumpulan bakat baharu semakin mendesak, memandangkan kita menyasarkan 40 peratus penguasaan pasaran dalam kewangan Islam menjelang 2020. – Bernama