Pertunjukan boneka air Vietnam pesonakan penonton Malaysia

Pertunjukan boneka air Vietnam pesonakan penonton Malaysia

PETALING JAYA, 20 Sept (Bernama) – Menari di atas air bukanlah kegiatan lazim manusia, apatah lagi boneka.

Namun, sekumpulan boneka dari Hanoi, Vietnam memukau penonton di Teater KuAsh di sini, malam tadi dengan persembahan mereka menari dan beraksi di atas permukaan air.

Bertemakan ‘Panorama Persembahan Boneka: Teater Boneka Air Vietnam’, persembahan itu dipentaskan oleh Teater Boneka Air Thang Long Vietnam buat pertama kalinya di Malaysia.

Naib Pengarah Teater Boneka Air Thang Long, Chu Van Luong berkata pertunjukan itu menggambarkan aktiviti harian kehidupan desa di Vietnam selain menampilkan peristiwa sejarah penting dan legenda silam.

Chu, yang menjadi pembuat boneka sejak hampir 30 tahun lepas, berkata penghasilan boneka mengambil masa tiga hingga empat bulan.

Semasa pertunjukan, boneka-boneka seperti naga, burung merak, ikan dan bot beraksi menurut kisah yang diriwayatkan oleh penyanyi.

Pertunjukan itu dianjurkan oleh Pusaka sempena DiverseCity 2015: Festival Kesenian Antarabangsa Kuala Lumpur.

Teater Boneka Air Thang Long yang dianggotai oleh 18 orang ahli termasuk tujuh ahli muzik itu telah mengadakan persembahan di seluruh dunia dan menyertai banyak festival kesenian antarabangsa termasuk di Amerika Syarikat, Australia, Jepun, Brazil, Sepanyol, Perancis dan Itali.