Pertunjukan bunga api Daerah Tutong 29 Julai ini

Pertunjukan bunga api Daerah Tutong 29 Julai ini

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 25 Julai – Bagi memeriahkan lagi suasana malam perayaan bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 di Daerah Tutong, pertunjukan bunga api yang akan diadakan pada 29 Julai ini.

Beberapa acara sampingan juga akan diadakan bermula jam 4 petang hingga 11 malam bagi memeriahkan lagi malam itu yang mana akan diadakan di Tatangan Sungai Tutong, Pekan Tutong.

Antara acara yang akan berlangsung nanti ialah Persembahan Tatu oleh Sukarelawan Daerah Tutong (SUKA) dan beberapa persembahan tarian dan nyanyian kebudayaan yang akan diadakan di kawasan Jalan Enche Awang, Pekan Tutong.

Di samping itu, Perkhidmatan River Cruise (Night Safari) juga akan disediakan dengan membawa pengunjung-pengunjung untuk menyaksikan buaya, kunang-kunang dan sekitar pemandangan Sungai Tutong pada waktu malam secara lebih dekat lagi.

Acara pada malam itu juga akan menampilkan beberapa pameran produk dan destinasi Tutong bagi memperkenalkan lokasi-lokasi dan produk daerah ini kepada orang ramai, selain menyediakan jualan mini dan bazar di kawasan letak kereta berdepan kedai lama Pekan Tutong dan tempat-tempat yang dibenarkan oleh pihak berkuasa.

Pertunjukan bunga api di kawasan Mercu Tanda Sungai Tutong pula akan diadakan selesai sahaja acara persembahan kebudayaan dan perbarisan berirama.

Acara berkenaan dianjurkan oleh Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 bagi Daerah Tutong, yang dikendalikan oleh Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong.

Dalam pada itu, orang ramai yang akan berkunjung nanti dinasihati untuk sentiasa mematuhi semua arahan Pasukan Polis Diraja Brunei dan memastikan keselamatan diri dan keluarga terjaga dari semasa ke semasa. Bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas, orang ramai perlulah hadir lebih awal sebelum jalan ditutup oleh pihak polis.