Perubahan iklim, konflik cetus kebimbangan dunia

Perubahan iklim, konflik cetus kebimbangan dunia

PARIS, 29 Nov (AFP) – Keganasan telah lama membayangi pembukaan sidang mesyuarat iklim di Paris pada hari Isnin, dua minggu selepas 130 orang terbunuh dalam serangan hebat yang diselaraskan yang dilancarkan oleh kumpulan pejuang ke atas bandar Perancis.

Ketika lebih 150 orang pemimpin dunia bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan kawalan keselamatan yang ditingkatkan, para penganalisis memberi amaran tentang masa depan yang semakin dicengkam peperangan yang dihadapi manusia jika mereka gagal membataskan kepanasan sejagat.

Kumpulan Negara Islam IS mengaku melancarkan serangan di Paris pada 13 November dan yang mana kumpulan ini telah melancarkan peperangan kejam di Syria – konflik yang berakar umbi, sebahagiannya dari kemarau bersejarah dari 2006 hingga 2010, menurut pakar-pakar.

Ia mengakibatkan kira-kira 1.5 juta petani dan penggembala meninggalkan tanah mereka dan menuju bandar-bandar dan kota seperti Horns, Palmyra dan Damsyik.

“Ia bukan kebetulan bahawa sejurus sebelum perang saudara di Syria, negara itu berdepan kemarau paling teruk pernah dicatatkan,” Setiausaha Negara AS John Kerry berkata di Milan bulan lalu.

Menurut Francesco Femia dari Pusat Iklim dan Keselamatan di Washington DC, penyelidikan menunjukkan kemarau Syria “adalah dua hingga tiga kali ganda lebih berkemungkinan berpunca dari perubahan iklim.”

Banyak laporan mengatakan kekurangan bekalan air, yang bertambah teruk disebabkan kepanasan iklim, telah mencetuskan konflik maut di Timur Tengah dan Afrika, yang menyumbang kepada kebanjiran orang pelarian yang ingin mencari kehidupan lebih baik di Eropah dan tempat lain.

Para pakar memberi amaran situasi ini mungkin semakin teruk ketika keadaan cuaca menjadi lebih menjejaskan kehidupan manusia dan orang ramai semakin lebih terdesak.