Perubahan minda dalam perniagaan beri impak kepada masyarakat

Perubahan minda dalam perniagaan beri impak kepada masyarakat

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Sept – Forum Asia ke-14 mengenai Tanggungjawab Sosial Korporat (AFCSR) yang berlangsung selama dua hari, hingga kelmarin, di Shangri-La Hotel, Bangkok, Thailand, telah mengetengahkan mengenai perubahan minda dalam perniagaan untuk memberi impak kepada masyarakat.

Dianjurkan bersama oleh Institut Pengurusan Asia – Ramon V del Rosario, Pusat bagi Tanggungjawab Sosial Korporat (AIM- RVR CSR Centre) dan Asia Inc Forum, itu bertema ‘Melancarkan Keusahawanan Sosial: Perkongsian Baru untuk Dunia Lebih Baik’.

Pengerusi Asia Inc Forum dan Pengerusi Persidangan AFCSR, Dato Timothy Ong berkata, seperti yang dikatakan Charles Dicken, forum AFCSR ke-14 itu diadakan pada masa yang tepat dan masa yang paling tidak sesuai.

Ini masa yang sesuai kerana perkembangkan kepintaran manusia, keusahawanan, inovasi dan ekonomi telah mengubah kehidupan berjuta-juta orang kepada lebih baik.

Ini juga masa yang tidak sesuai kerana berjuta-juta orang terus hidup dalam kemiskinan, tanpa akses kepada kesihatan dan pendidikan, kerana ketidaksamaan terus meningkat di antara dan dalam negara-negara, kerana degradasi alam sekitar terus berlaku dan kerana keganasan dan pelampau terus memindahkan berjuta-juta orang sekali gus mewujudkan krisis kemanusiaan yang kita lihat di televisyen setiap hari, ujar beliau.

Menurut kenyataan Asia Inc Forum, hari ini, memimpin perbincangan dalam forum berkenaan ialah Sanjit “Bunker” Roy, iaitu pengasas Kolej Barefoot di India, di mana beliau mengongsikan pengalamannya bekerja dengan komuniti luar bandar di kampung halamannya.

Sejak ditubuhkan pada 1972, Kolej Barefoot menggunakan pengetahuan luar bandar dan kemahiran untuk memberikan perumahan, pendidikan dan bekalan air yang mencukupi kepada masyarakat.

“Golongan buta huruf pada abad ke-21 bukan seseorang yang tidak tahu membaca atau menulis, tetapi seseorang yang tidak dapat belajar, tidak berpelajaran dan belajar semula,” tekannya.

Roy menekankan bahawa perkongsian Model Barefoot di antara kerajaan, komuniti dan perniagaan merupakan satu model alternatif yang telah menjana kesan hebat, mengubah para nenek dari 70 buah negara untuk menjadi jurutera dan menubuhkan 150 sekolah malam dengan menggunakan tanglung solar.

Dalam menekankan semangat mengambil risiko demi menghasilkan kesan, beliau juga menggesa usahawan muda supaya bekerjasama dengan pertubuhan di mana nilai-nilai mereka adalah sama demi memahami perasaan berada di peringkat bawah.

Menurut kenyataan itu lagi, AFCSR pada tahun ini juga meneroka cara baru supaya perniagaan menyokong pembaharuan sosial.

Durreen Shahnaz, pengasas dan pengerusi Impact Investment Exchange Asia (IIX) telah membincangkan kesan pelaburan, atau pelaburan yang bertujuan mewujudkan kesan sosial yang positif selain daripada pulangan kewangan.

“Kesan adalah seiring dengan pembiayaan,” kata Shahnaz, menambah perniagaan boleh bertindak sebagai pemangkin kepada ekosistem, mempertingkat pinjaman untuk memberikan pengaruh, dan mempromosi amalan dan dasar perniagaan terangkum.

Program Penggalak Impak IIX membolehkan sektor swasta mengatasi agenda tradisional CSR untuk mewujudkan kesan kepada masyarakat, tambahnya.

“Timbulnya keperluan untuk melampaui pembaharuan. Ia perlu membabitkan pembaharuan kewangan dan peluang. Hakikatnya adalah jika pemimpin korporat tidak memainkan peranan, anda akan ketinggalan. Pihak sosial dan kewangan yang bergabung bersama merupakan satu gerakan yang telah pun berlaku.

“Jangan hanya melihat masyarakat sebagai entiti yang membeli produk anda, lihatnya sebagai seorang rakan, di mana anda mewujudkan mata pencarian dan peluang, dan anda juga membiayainya,” kata Shahnaz.

ARTIKEL YANG SAMA