Perubahan proses 4 agensi

Perubahan proses 4 agensi

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Okt – Kementerian Pembangunan akan melaksanakan perubahan ke atas beberapa proses yang melibatkan empat agensi kerajaan, iaitu Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Divisyen Pihak Berkuasa Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi), Jabatan Kerja Raya dan Telekom Brunei Berhad di bawah Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi (AITI) dengan bantuan Unit PENGGERAK, Jabatan Perdana Menteri.

Reformasi yang akan berkuat kuasa mulai 1 November 2015 itu adalah sebahagian daripada usaha Kementerian Pembangunan untuk memantapkan perkhidmatannya kepada orang ramai, terutama daripada segi memendekkan tempoh hari menghadapkan permohonan hingga kebenaran dikeluarkan dan memudahkan lagi proses permohonan kerja kemajuan kerja-kerja tanah atau bangunan.

Sehubungan itu, Kementerian Pembangunan telah mengadakan Majlis Sesi Dialog 3/2015 Pemberigaan Proses Kawalan Kemajuan antara keempat-empat agensi kerajaan yang berlangsung di Dewan Indera Pahlawan, Pusat Kemahiran Kerja dan Latihan, Kementerian Pembangunan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional) Kementerian Pembangunan, Haji Marzuke bin Haji Mohsin.

Dalam ucapannya, beliau berkata, reformasi tersebut adalah bagi membantu pihak kerajaan mencapai hasrat untuk memperbaiki kedudukan Negara Brunei Darussalam dalam Laporan Bank Dunia (Ease of Doing Business).

Fokus utama reformasi itu adalah dalam proses mendapatkan Kebenaran Perancangan, Kebenaran Kemajuan, Kebenaran Memulakan Kemajuan, Kebenaran Kesiapan Kemajuan (Occupation Permit – O.P.) dan penyambungan bekalan air dalam konteks pengendalian permit pembinaan dan seterusnya untuk mendapatkan bekalan elektrik.

Haji Marzuke ketika hadir di majlis dialog itu.
Haji Marzuke ketika hadir di majlis dialog itu.

Reformasi itu juga merangkumi proses berkaitan pelan-pelan keperluan talian telefon dan Internet dalam bangunan yang sebelum ini dihadapkan ke AITI, Syarikat Telekom Brunei Berhad, dan kini boleh dihadapkan kepada ABCi semasa menghadapkan permohonan Kebenaran Kemajuan mulai 1 November 2015, secara percubaan dan proses tersebut akan menjadi mandatori mulai 1 Disember 2015.

Sementara itu, dalam menghadapkan permohonan untuk mendapatkan Kebenaran Perancangan, semua arkitek, jurutera profesional serta pelukis pelan yang berdaftar diharap supaya menggunakan sistem e-KP secara online dengan memastikan segala maklumat yang dimasukkan ke dalam sistem tersebut adalah lengkap, betul dan tepat.

Di bawah reformasi itu, para arkitek, jurutera dan pelukis pelan yang berdaftar juga disarankan supaya sentiasa peka dan patuh kepada peraturan dan garis panduan perancangan serta garis panduan Piawai Brunei Darussalam (PBD) 12:2014 Edisi Ketiga.

Di samping itu, arkitek, jurutera dan pelukis pelan serta kontraktor yang terlibat dalam kemajuan juga diseru untuk mengambil perhatian berat dan mengambil langkah bersesuaian bagi meningkatkan serta mengekalkan tahap kesihatan, keselamatan dan alam sekitar (HSE) yang tinggi di tapak bina projek pada setiap masa dan dipatuhi di setiap peringkat.

Mereka juga dikehendaki sentiasa bertanggungjawab dan mematuhi garis panduan, segala piawaian dan syarat-syarat yang berkaitan serta memenuhi spesifikasi dan keperluan dalam kontrak atau perjanjian persetujuan masing-masing.

Arkitek, jurutera, pelukis pelan serta kontraktor juga bertanggungjawab kepada semua pihak untuk memastikan projek-projek dilaksanakan mengikut pelan dan spesifikasi yang telah diluluskan, ditetapkan dan dipersetujui bagi semua projek kerajaan dan swasta.

Dalam hal itu, mana-mana konsultan, kontraktor dan pembekal yang didapati gagal mematuhi arahan dan peraturan yang berkuat kuasa boleh diambil tindakan tatatertib yang bersesuaian termasuk menggantung dan membatalkan pendaftaran syarikat di Kementerian Pembangunan.

ARTIKEL YANG SAMA