Peruntukan $124 juta bagi KHELNP

Peruntukan $124 juta bagi KHELNP

Oleh Normazlina M.D

 

pg01_160311_MMN-_LogoBANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mac – Sebanyak $124,944,570 telah diperuntukkan bagi Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan (KHELNP) termasuk peruntukan bagi 43 buah perwakilan Negara Brunei Darussalam di luar negeri bagi tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng semasa menyampaikan mukadimah mengenai rang undang-undang bagi KHELNP di Majlis Mesyuarat Negara hari keempat, pagi tadi berkata, pihak kementerian akan mengamalkan peruntukan secara terbaik dalam melaksanakan tugas dan peranannya untuk mendukung dasar menjaga kepentingan negara di arena antarabangsa.

Kementerian ini juga akan terus berusaha dan menyokong matlamat kejayaan untuk mengukuhkan ekonomi negara bagi mendukung pembangunan yang berterusan bagi rakyat dan penduduk negara.

Dalam perkara ini, Yang Berhormat Pehin menjelaskan KHELNP akan sentiasa mengambil tindakan proaktif dalam menyokong dasar ekonomi negara, dan akan melaksanakan inisiatif-inisiatif perekonomian serantau dan antarabangsa seperti Komuniti Ekonomi ASEAN dan Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang ditandatangani pada 4 Februari 2016, di New Zealand baru-baru ini.

Selain itu, dalam menyokong ekonomi negara dalam menarik pelaburan asing, ia juga akan meningkatkan perdagangan dan mewujudkan peluang pekerjaan bagi rakyat terutama belia-belia.

Menyentuh mengenai perjanjian TPP, Yang Berhormat Pehin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kementerian-kementerian yang terlibat secara langsung dalam memberikan sokongan dan memberikan input dan juga menjadi perunding-perunding utama dalam bab-bab atau isu-isu di bawah tanggungan mereka.

Ini termasuk Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan, AMBD dan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan Tenaga, Pejabat Peguam Negara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Jabatan Buruh, Jabatan Imigresen, Jabatan Biro Mencegah Rasuah, Kementerian Perhubungan dan IT, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Kementerian Pembangunan, dan Kementerian Kesihatan.

Perjanjian TPP ini merupakan perjanjian perdagangan bebas di antara 12 buah negara termasuk Negara Brunei Darussalam dan ahli-ahli TPP ini mewujudkan pasaran yang terdiri daripada 800 juta penduduk dan gabungan GDP 40% dari keseluruhan GDP Dunia.

Apabila perjanjian itu dilaksanakan, ia akan membukakan pasaran bagi produk-produk Negara Brunei Darussalam dan akan menjana pertumbuhan ekonomi dengan membawa manfaat kepada penduduk dan rakyat di negara ini.

Mengenai Komuniti Ekonomi ASEAN, Yang Berhormat Pehin berkata, kementeriannya akan terus mendukung pertumbuhan Komuniti Ekonomi ASEAN yang selaras dengan Wawasan 2035 Negara untuk meningkatkan kemahiran kualiti hidup dan pendapatan rakyat.

Komuniti Ekonomi ASEAN ditubuhkan pada penghujung 2015, di mana seramai 622 juta penduduk rantau ASEAN telah menjadi satu gabungan ekonomi yang bersepadu.

“Inisiatif ini berhasrat untuk mewujudkan pembangunan ekonomi yang saksama, merapatkan jurang ekonomi ASEAN, menjana pertumbuhan eksklusif melalui dasar-dasar yang menyokong perusahaan kecil dan sederhana,” jelas Yang Berhormat Pehin dan berharap Rang Peruntukan bagi Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan 2016-2017 diluluskan.

ARTIKEL YANG SAMA