Peruntukan diagih kepada persatuan kebajikan

Peruntukan diagih kepada persatuan kebajikan

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Mac – Peruntukan kewangan bagi badan bukan kerajaan yang diperuntukkan melalui peruntukan khas diagihkan kepada persatuan bidang kebajikan dan kemasyarakatan termasuk persatuan wanita, persatuan orang kurang upaya dan persatuan warga emas.

Peruntukan ini, jelas Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, diagihkan bagi menampung perbelanjaan operasi tahunan persatuan berkenaan khususnya bagi membiayai program pembangunan dan peningkatan kapasiti ahli termasuk pembayaran tenaga kerja pakar yang membantu menjalankan program berkenaan.

pg01_160317_MMN_Logo

Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof seterusnya menambah, sebelum bantuan kewangan dapat dipertimbangkan, setiap persatuan dikehendaki menghadapkan perancangan tahunan masing-masing dengan menyatakan anggaran perbelanjaan bagi aktiviti yang berkaitan.

“Permohonan akan dipertimbangkan berasaskan value for money dan impak aktiviti berkenaan kepada perkembangan golongan yang dipeduli oleh persatuan berkenaan,” tegasnya semasa mengulas persoalan mengenai peruntukan bantuan bagi pertubuhan bukan kerajaan berkurangan daripada jumlah peruntukan tahun lalu yang dibangkitkan pada hari kesembilan Majlis Mesyuarat Negara bersidang hari ini.