Peruntukan dibelanjakan secara berhemat

Peruntukan dibelanjakan secara berhemat

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

pg01_160318_MMN_LogoBANDAR SERI BEGAWAN, 17 Mac – Kementerian Perhubungan akan membelanjakan $68.5 juta yang diperuntukkan bagi tahun kewangan 2016/2017 secara berhemat dengan memberi sepenuh perhatian kepada prestasi meningkatkan produktiviti dan menghindari sebarang pembaziran dalam rangka ‘performance budgeting’ serta akan mengambil sikap sebagai pemudah cara dalam semua aspek pengurusan demi kepentingan rakyat.

Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa bin Haji Sirat semasa menyampaikan mukadimah bagi Kementerian Perhubungan di Majlis Mesyuarat Negara yang bersidang petang tadi berkata, sektor perhubungan memainkan peranan penting dalam mendukung pembangunan dan perekonomian negara yang dinamik, berdaya tahan dan berdaya saing.

“Ini, ada hubung kaitnya sebagai mobiliti atau ‘movement of people, goods and services’. Setiap ekonomi yang dinamik mempunyai sistem perhubungan yang efisien bagi keperluan rakyat dan penduduk serta menjana masyarakat yang dinamik menjelajahi dan merantau di merata tempat, meluaskan pasaran untuk mencari nafkah dan mencari mata pencarian.

“Setiap barangan dan perkhidmatan perlu kelangsungan laluan yang lancar dan tanpa halangan untuk menuju ke destinasi. Kesimpulannya, antara faktor yang penting di dalam aspek mobiliti dan perhubungan ialah kesaling-hubungan dengan rangkaian perkhidmatan pengangkutan yang meluas.

“Ini bukan hanya dalam konteks pengangkutan awam dalam negara sahaja, tetapi juga kesalinghubungan (connectivity) antara Negara Brunei Darussalam bersama negara-negara luar melalui penerbangan awam dan perkapalan.

Menurut Yang Berhormat Dato Haji Mustappa, daripada peruntukan tersebut, sebanyak $42.6 juta dikhususkan untuk pembayaran gaji kakitangan; $17.4 juta untuk perbelanjaan operasi atau perbelanjaan berulang-ulang; dan $8.5 juta untuk perbelanjaan khas, khususnya bagi pembaik-pulih prasarana di bawah Jabatan Laut, Jabatan Pelabuhan dan Jabatan Penerbangan Awam.

Katanya, hasil pendapatan tahunan yang dikutip oleh jabatan-jabatan di bawah Kementerian Perhubungan ialah antara $75.1 juta pada tahun 2013/2014 yang meningkat kepada $98.5 pada tahun 2014/2015.

Beliau berkata, sumbangan sektor perhubungan pada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) hanyalah sebanyak 3% iaitu kira-kira $600 juta lebih dalam setahun.

“Alhamdulillah Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam masih mampu mengadakan anggaran belanjawan yang agak tinggi, terutama kalau dilihat daripada segi perbelanjaan per kapita.

“Sungguhpun demikian, kita peka kepada impak ekonomi global yang tidak menentu, terutama dengan suasana persaingan harga minyak dan gas antarabangsa yang begitu sengit, yang bakal menjejaskan kestabilan fiskal negara.”

Yang Berhormat Dato Haji Mustappa berkata bahawa Kementerian Perhubungan menjunjung tinggi titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi kerajaan Baginda memberi fokus sepenuhnya kepada menggiatkan sektor swasta untuk menjamin kesejahteraan rakyat dan generasi yang akan datang.

Beliau menambah kata, sistem perhubungan, pengangkutan dan perkapalan yang efisien dan selamat, akan membukakan lagi ruang-ruang pasaran dan menggalakkan perdagangan dan pelancongan di negara ini.

Di samping itu sistem pengangkutan yang reliable juga akan dapat membantu rakyat dan penduduk di negara ini untuk mencari peluang-peluang pekerjaan, (terutama lepasan sekolah, yang belum mempunyai kenderaan sendiri) dan juga dapat mengalas tekanan daripada kesempitan keluarga.

Sehubungan dengan itu Menteri Perhubungan percaya, sektor pengangkutan berpotensi untuk diangkat sebagai salah satu asas ekonomi yang penting yang mampu untuk menjana ekonomi yang cergas dan kompetitif.