Peruntukan Kementerian Pembangunan dikurangkan

Peruntukan Kementerian Pembangunan dikurangkan

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mac – Bagi tahun kewangan 2016/2017, dengan mengambil kira perlunya pengukuhan dan pengawalan serta penjimatan perbelanjaan kerajaan, Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya telah disokong untuk disediakan peruntukan sebanyak $234,779,890, menurun hampir 21 peratus daripada peruntukan yang diluluskan bagi tahun kewangan 2015/2016.

“Secara ringkas, peruntukan yang disediakan bagi Kementerian Pembangunan adalah seperti berikut; gaji kakitangan secara keseluruhannya disediakan sebanyak $104,353,700, perbelanjaan berulang-ulang diperuntukkan sebanyak $116,224,050, perbelanjaan khas diperuntukkan sebanyak $14,202,140.”

Peruntukan bagi Kementerian Pembangunan itu didedahkan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin bin Abdullah (gambar) dalam mukadimahnya mengenai Peruntukan bagi Kementerian Pembangunan semasa Persidangan Majlis Mesyuarat Negara yang bersidang pada hari kelapan, hari ini.

Yang Berhormat Dato Haji Bahrin juga berkata bahawa sesuai dengan tema belanjawan tahun kewangan 2016/2017 iaitu mengukuhkan iklim perekonomian bagi mendukung pembangunan berterusan, kementeriannya dalam melaksanakan tanggungjawabnya secara amnya akan memberikan penekanan kepada perkara-perkara seperti kemesraan pelanggan terhadap komuniti bisnes dan orang ramai iaitu business and citizen friendliness, penjanaan dan pengukuhan hasil kewangan daripada aktiviti-aktiviti iaitu program-program dan projek-projek yang dikendalikan.

pg05_160316_a

Selain itu, pembaikan pengurusan aliran tunai (cash flow) termasuk keberkesanan pengutipan hasil dan penyelesaian isu-isu tunggakan, meningkatkan keberkesanan dalam pengurusan kos sama ada berupa kos organisasi mahupun kos projek-projek yang dikendalikan dengan pengutamaan aktiviti-aktiviti yang terpenting serta skop kerja yang benar-benar perlu termasuk penekanan keberkesanan kos melalui organisational streamlining and consolidation dan pengendalian program-program dan projek-projek dengan penekanan kepada nilai untuk wang serta memperkenalkan kaedah-kaedah Kerjasama Awam Swasta (PPP) atau Private-Public Partnership dalam pelaksanaan projek-projek bersesuaian dan menguntungkan (bankable) dengan melibatkan kepakaran-kepakaran pelaburan serta kewangan dari luar Kementerian Pembangunan yang berkepentingan.

Di samping itu, Yang Berhormat Dato Haji Bahrin juga menyatakan bahawa kementeriannya sedang membuat pertimbangan kesesuaian bagi pengkorporatan dan penswastaan mana-mana perkhidmatan yang berpotensi untuk dikorporatkan atau diswastakan.

Beliau juga menerangkan mengenai dengan tumpuan dan keutamaan bagi penyampaian perkhidmatan yang ditekankan oleh Kementerian Pembangunan iaitu Rancangan Perumahan Negara yang berdaya tahan (sustainable) bagi manfaat golongan sasaran yang berkelayakan dan memerlukan, perancangan dan penggunaan tanah yang optimum dengan fokus terhadap mendukung kegiatan sosio-ekonomi negara, proses permohonan-permohonan orang ramai yang lebih efisien, projek-projek kerajaan seperti pembinaan Rancangan Perumahan Negara dan kemudahan awam yang mula dibiayai melalui PPP, jumlah pegawai-pegawai kompeten dan profesional yang meningkat melalui pengurusan sumber tenaga manusia yang terarah serta kapasiti pengurusan kontrak perundangan dan penguatkuasaan yang lebih mantap.

ARTIKEL YANG SAMA