Peruntukan KHEU dikurangkan

Peruntukan KHEU dikurangkan

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mac – Lebih $249 juta belanjawan diperuntukkan untuk Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) bagi tahun kewangan 2016-2017 yang mana jumlah tersebut berkurangan sebanyak 4.4 peratus iaitu lebih $11 juta berbanding peruntukan kewangan tahun lalu.

Sebahagian besar belanjawan itu, dianggarkan lebih $208 juta adalah gaji kakitangan manakala selebihnya iaitu lebih $38 juta adalah bagi perbelanjaan berulang-ulang dan perbelanjaan khas disokong sebanyak $2.15 juta.

Dengan peruntukan itu, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman berkata, kementeriannya berusaha mengoptimumkannya bagi menjayakan lima program fungsi utama kementerian yang ditetapkan.

Antara yang termasuk dalam fungsi-fungsi utama berkenaan adalah memastikan pengurusan pelan pentadbiran secara keseluruhan beroperasi dengan cekap dan berkesan; memastikan penyebaran dakwah dan syiar Islam yang berkesan untuk memperkasakan budaya dan amalan penghayatan beragama sebagai cara hidup yang lengkap; mengerak serta menyelaraskan persiapan perlaksanaan penuh Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013 dengan semua agensi berkenaan semata-mata kerana Allah sambil meningkatkan pengetahuan dan kesedaran awam mengenai kedudukannya sebagai sebahagian daripada undang-undang negara.

Selain itu, memastikan keberkesanan persekolahan dan pendidikan ugama serta persekolahan Arab, Institut Thafiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan dalam usaha melahirkan generasi yang berilmu dan beriman bagi mendukung dan mengekalkan ciri-ciri sosial dan politik negara Melayu Islam, berpemerintahan Beraja yang berkebajikan.

Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin ketika menerangkan peruntukan perbelanjaan bagi KHEU.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin ketika menerangkan peruntukan perbelanjaan bagi KHEU.

Akhir sekali, memperkasa sijil dan label Halal Majlis Ugama Islam Brunei dalam mengawal dan memastikan kehalalan serta kesucian pemakanan dan barangan gunaan yang dipasarkan di dalam negeri dan mempromosikannya ke peringkat antarabangsa sebagai mendukung produk halal negara ke pasaran luar negeri.

Semasa membentangkan mukadimah belanjawan KHEU pada persidangan hari ketujuh Majlis Mesyuarat Negara, petang tadi, Yang Berhormat Pehin menjelaskan, peruntukan yang disokong bagi pecahan-pecahan lima fungsi utama itu adalah, lebih $25 juta bagi Pengurusan dan Pentadbiran, penyebaran dakwah dan syiar Islam dianggarkan lebih $26 juta, lebih $7 juta bagi Perundangan Islam, Pendidikan Islam lebih $182 juta dan Keselamatan Sosial pula dianggarkan lebih $5 juta.

Menjelaskan mengenai pengurangan jumlah keseluruhan perbelanjaan yang diperuntukkan, Yang Berhormat Pehin berkata, ia mengambil kira pengurangan bersih gaji kakitangan sebanyak 25 jawatan dan pembekuan sebanyak 151 jawatan kosong daripada jumlah keseluruhan 358 jawatan kosong sehingga September 2015, yang melibatkan pengurangan peruntukan sebanyak $1.168 juta.

Jawatan-jawatan kosong yang dibekukan adalah 23 jawatan dalam bidang pengurusan dan pentadbiran; 68 jawatan dalam bidang penyebaran dakwah dan syi’ar Islam; 20 jawatan dalam bidang perundangan Islam; satu jawatan dalam bidang keselamatan sosial; dan 41 jawatan dalam bidang Pendidikan Islam.

“Jawatan kosong selebihnya sebanyak 207 jawatan diberikan peruntukan enam bulan gaji sahaja mengambil kira proses pengiklanan, temu duga dan pelantikan,” tambahnya.

Sementara itu, pengurangan perbelanjaan berulang-ulang pula mengambil kira perkiraan sebenar gaji Pekerja Open Vote dan Pekerja Gaji Hari, dan perbelanjaan khas berkurangan dengan mengambil kira keutamaan belanjawan yang mendokong projek-projek yang selaras dengan fokus perbelanjaan.

ARTIKEL YANG SAMA