Peruntukan lebih untuk Sarawak

Peruntukan lebih untuk Sarawak

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa peruntukan bagi Sarawak dalam Bajet 2016 adalah demi memenangi pilihan raya negeri yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Beliau berkata soal membeli undi tidak sepatutnya timbul kerana apa jua peruntukan dalam bajet untuk Sarawak adalah kerana kerajaan persekutuan sentiasa prihatin terhadap keperluan rakyat negeri itu mendapat faedah dan perkhidmatan yang baik.

“Rakyat Sarawak memang wajar mendapat peruntukan khas (dalam bajet)…bukan kerana mereka akan menghadapi pilihan raya negeri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Pengguna Kebangsaan 2015 di Dataran Merdeka di sini hari ini.

Dalam pembentangan Bajet 2016 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat lalu, Putrajaya memperuntukkan lebih RM29 bilion untuk projek pembangunan dan inisiatif untuk manfaat rakyat di Sabah dan Sarawak.

Antaranya, sejumlah RM260 juta diperuntukkan bagi memastikan harga barangan di dua negeri itu ditetapkan pada kadar yang sama, di bawah program 1Harga 1Sabah dan 1Harga 1Sarawak.

Selain itu, Najib mengumumkan bahawa Lebuh raya Pan-Borneo yang bakal siap menjelang 2021 dengan anggaran kos RM28.9 bilion, tidak akan dikenakan bayaran tol.

Sementara itu, Ahmad Zahid menegaskan langkah menaikkan kadar cukai untuk golongan berpendapatan tinggi adalah struktur percukaian yang progresif.

Beliau menyifatkan dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan seolah-olah menjadi ‘Robin Hood’ dalam mengenakan cukai yang tinggi terhadap golongan itu adalah persepsi pihak yang merasa ‘tidak senang’.

“(Kenaikan) ini bukan merampas atau pengagihan semula pendapatan rakyat, (sebaliknya) ini adalah struktur pencukaian progresif (yang turut) terdapat di negara membangun dan maju.

“Kita dapati di beberapa negara ada tarif pencukaian yang lebih tinggi dari Malaysia, (malah) ada negara yang hingga (maksimum) 50 peratus, dan saya fikir itu tak akan berlaku di Malaysia.

“Maka jangan guna istilah pelbagai untuk beri gambaran buruk kepada dasar pencukaian,” katanya.

Pembentangan bajet itu turut menyatakan bahawa mereka yang berpendapatan antara RM600,000 hingga RM1 juta akan dikenakan cukai 26 peratus berbanding 25 peratus sekarang.

Bagi individu berpendapatan bercukai melebihi RM1 juta kadarnya dicadang dinaikkan tiga peratus kepada 28 peratus.