Peruntukan RM180 juta untuk pilihan raya

Peruntukan RM180 juta untuk pilihan raya

KUCHING, 16 Nov (Bernama) – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan membelanjakan kira-kira RM180 juta pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak ke-11, kata Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Katanya peruntukan itu turut melibatkan perbelanjaan logistik, seperti penyewaan helikopter, dan perbincangan untuk menyewa helikopter sudah pun bermula.

“Di Sarawak ini memang banyak helikopter diperlukan kerana ada kawasan-kawasan tertentu kita tiada pilihan. Kami perlu menggunakan helikopter dan di sesetengah tempat, helikopter itu kena keluar dari kawasan tersebut sebelum masa tertentu,” katanya.

Sejumlah 15,000 kakitangan terlibat dan mereka akan ditempatkan di seluruh negeri semasa PRN kelak, katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan pada Taklimat Pegawai Pengurus, Penolong Pegawai Pengurus dan Ketua Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah, Ahli-ahli Suruhanjaya SPR, Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh dan Pengarah SPR Sarawak Datuk Takun Sunggah.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata setakat suku kedua tahun ini, pengundi berdaftar di Sarawak berjumlah 1.1 juta orang namun beliau menyifatkan jumlah tersebut masih kecil dengan jumlah pengundi baharu hanya kira-kira 10 peratus.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata SPR menjangkakan laporan akhir persempadanan semula bahagian PRN Sarawak akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 2 Dis ini.

Beliau berkata berkata tarikh tersebut adalah hari kedua terakhir Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Sidang Parlimen Ke-13 yang berlangsung selama 25 hari mulai 19 Okt sehingga 3 Dis.

Katanya pembentangan laporan itu bagi membolehkan cadangan mewujudkan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang baharu mendapat kelulusan Parlimen dan diwartakan.