Peruntukan Undang-undang Islam Sarawak dicadang disemak semula

KUCHING, 16 Mei – Datuk Dr Juanda Jaya (BN-Jemoreng) mencadangkan agar kerajaan negeri menyemak semula beberapa peruntukan dalam Ordinan Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Sarawak 2001 agar manipulasi ke atas kanak-kanak dapat dibendung dari sudut undang-undang dan agama.

Beliau berkata ia seiring pindaan undang-undang peringkat persekutuan berkaitan Rang Undang-Undang Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang diluluskan April lalu.

Juanda mencadangkan agar Seksyen 7 dalam ordinan berkenaan dimansuhkan bagi menghilang rasa bersalah para Hakim Syarie yang seolah-olah terpaksa meluluskan permohonan berkahwin bawah umur 16 tahun bagi kanak-kanak perempuan dan bawah 18 bagi kanak-kanak lelaki.

“Sewajarnya kebenaran berkahwin bagi lelaki dan perempuan hanya dihadkan kepada 18 tahun ke atas sahaja, iaitu sekurang-kurangnya setelah melepasi usia majoriti dan usia selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini.

Beliau juga menarik perhatian dewan tentang beberapa perkara membabitkan kesalahan matrimoni di bawah Ordinan Undang-Undang Keluarga Islam Sarawak 2001.

Menurut Juanda sebahagian penalti yang dikenakan adalah merupakan hukuman takzir akibat melanggar peruntukan undang-undang pentadbiran syariah yang bukannya berupa hukum syarak.

“Contohnya Seksyen 127 berkaitan berpoligami tanpa kebenaran mahkamah yang mengakibatkan denda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. “Pada hal poligami bukanlah suatu dosa dan bukannya suatu jenayah.

Katanya, penalti yang dikenakan sekarang seolah-olah memperlakukan pengamal poligami tanpa kebenaran mahkamah seperti penjenayah, pada hal mereka melakukan sesuatu yang halal di sudut syarak.

Beliau juga mencadangkan agar ditiadakan hukuman penjara bagi kesalahan seperti itu, dan memadai hanya dikenakan kompaun sahaja yang tidak melebihi RM500 bagi kesalahan pertama. – Bernama