Perusahaan hotel KPPMS berdepan cabaran besar

Perusahaan hotel KPPMS berdepan cabaran besar

Oleh Saemah Kepli

 

SERIA, 18 Sept – Ekonomi global yang suram sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada banyak perniagaan global mahupun tempatan, sekali gus menjadi cabaran besar yang dihadapi oleh pengusaha hotel dan bangunan Koperasi Perniagaan dan Perusahaan Melayu Seria Berhad (KPPMS).

Kekurangan penyewa bilik-bilik hotel dan mendapatkan pelanggan secara kontrak untuk tinggal di hotel hampir tidak ada, di samping harga lima unit kedai syarikat itu terpaksa dikurangkan kepada harga paling murah bagi mengekalkan pelanggan mereka agar tidak berpindah ke bangunan lain yang tumbuh seperti cendawan di daerah ini.

Pengurus KPPMS, Haji Ahmad bin Haji Hassan, hari ini memberitahu, perusahaan hotel mereka menghadapi cabaran besar setelah kehadiran sebuah lagi hotel baru di Pekan Seria berbanding sebelum ini, di mana pekan tersebut hanya mempunyai sebuah hotel iaitu hotel koperasi berkenaan.

Beliau ditemui sejurus sebelum mempengerusikan Mesyuarat Agung ke-34 koperasi berkenaan di Dewan Bangunan Hotel KPPMS di sini.

Menurut beliau lagi, hari ini merupakan ulang tahun ke-50 wujudnya KPPMS, dan sepanjang tempoh itu, urus niaga tidak semuanya tenang tetapi turut menghadapi pelbagai cabaran, ditambah lagi dengan keadaan ekonomi pada masa ini.

Haji Ahmad ketika mempengerusikan mesyuarat agung KPPMS.
Haji Ahmad ketika mempengerusikan mesyuarat agung KPPMS.
Antara yang hadir Mesyuarat Agung KPPMS di Dewan Hotel KPPMS kelmarin.
Antara yang hadir Mesyuarat Agung KPPMS di Dewan Hotel KPPMS kelmarin.

“Pelanggan kami sebelum ini ramai yang datang daripada negara jiran. Kini sudah semakin surut, ekoran pertukaran mata wang yang terlalu rendah walaupun kami sudah berusaha menurunkan harga kepada yang paling rendah. Itu pun masih menjadi masalah kepada sebahagian pelancong yang datang dan masih meminta diskaun,” katanya.

Di samping itu, tambahnya, sebelum ini hotel mereka merupakan tempat tinggal secara berkontrak kepada lima buah syarikat besar, tetapi sekarang hampir tidak ada.

Mereka juga terjejas dengan saingan daripada banyak pemaju yang membina bangunan dalam bentuk apartmen dan pelanggan banyak pindah ke tempat baru.

“Hotel kami sudah kekurangan pelanggan berbanding tiga tahun lepas, bagaimanapun selaku pemegang amanah untuk memajukan perniagaan, kami meneruskan usaha dengan membuat pembaikan dan nilai tambah ke atas bilik-bilik hotel seperti mengganti perabot dan serta memberikan minuman, akhbar, sentiasa menawarkan harga-harga promosi dan sebagainya untuk menarik pelanggan,” tambahnya.

Beliau juga menjelaskan mesyuarat bulanan juga sering diadakan dan rancangan seterusnya adalah dengan mempromosikan tempahan lima hari dan percuma satu hari serta menyediakan harga korporat bagi mereka yang menetap selama dua minggu dengan harga diskaun istimewa.

KPPMS setakat ini mempunyai 21 orang pekerja yang dibahagikan kepada pekerja di stesen minyak, pemandu bas dan menjaga bangunan serta hotel, bagaimanapun perniagaan stesen minyak setakat ini tidak banyak berubah dan masih mapan seperti sebelumnya.

Untuk tambah nilai perniagaan yang lebih menarik, ahli-ahli pengurusan koperasi tersebut turut mengadakan lawatan keluar negara untuk mencari urus niaga baru dengan perancangan lebih teliti memandangkan keadaan ekonomi global pada masa ini masih belum stabil.

Seramai hampir 100 orang dalam kalangan anggota KPPMS, telah menghadiri mesyuarat agung hari ini, antara lain agendanya termasuklah pembubaran dan lantikan ahli lembaga yang baru bagi sesi 2016/17 dan sebagainya.

ARTIKEL YANG SAMA