Perusahaan Mozzat ceriakan Pusat Bahagia Eric Goh

Perusahaan Mozzat ceriakan Pusat Bahagia Eric Goh

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 17 Okt – Kira-kira 30 orang dalam kalangan kakitangan Perusahaan Mozzat Sdn Bhd telah terlibat menyertai aktiviti kemasyarakatan yang diadakan di Pusat Bahagia Eric Goh Jalan Pandan Lima, di sini, hari ini.

Dalam kunjungan itu, rombongan yang diketuai oleh Pengarah Urusan Perusahaan Mozzat Sdn Bhd, Haji Alias bin Haji Duraman telah mengadakan pelbagai aktiviti yang dihasratkan dapat membantu menghiburkan pelajar-pelajar di pusat tersebut, seperti peraduan mewarna gambar, melukis wajah, memasukkan bola ke dalam gelas dan sebagainya.

Turut menyertai aktiviti tersebut ialah Pengurus Am syarikat berkenaan, Dato Seri Sii H.K @ Anthony dan juga Pengurus Kontrak, B.C. Mohan serta beberapa orang pegawai kanan dan kakitangan mereka.

Haji Alias dalam temu bual bersama media menyatakan, aktiviti itu merupakan salah satu daripada projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat selain dihasratkan untuk dapat menghiburkan pelajar-pelajar istimewa di pusat tersebut.

Menurut beliau, mengunjungi dan menyediakan aktiviti bersama pelajar-pelajar istimewa itu merupakan kali pertama mereka lakukan, dan merancang untuk melakukannya secara berterusan pada masa-masa akan datang.

Gambar ramai Pengurus Am, Pengurus Kontrak, Pengarah Urusan Syarikat Perusahaan Mozzat Sdn Bhd bersama kakitangan Pusat Bahagia Eric Goh Pandan Lima semasa menyampaikan sumbangan bagi keperluan kemudahan pelajar pusat tersebut.
Gambar ramai Pengurus Am, Pengurus Kontrak, Pengarah Urusan Syarikat Perusahaan Mozzat Sdn Bhd bersama kakitangan Pusat Bahagia Eric Goh Pandan Lima semasa menyampaikan sumbangan bagi keperluan kemudahan pelajar pusat tersebut.

Di samping menyediakan pelbagai aktiviti bersama dengan pelajar-pelajar istimewa di pusat tersebut, ujar beliau lagi, mereka turut menghulurkan sumbangan berupa set kipas angin dan meja bulan besar bagi kemudahan yang diperlukan di pusat tersebut terutama sekali kepada pelajar-pelajarnya.

“Di samping sebagai aktiviti CSR, kami juga mahu mengajak pekerja-pekerja kami membantu menceriakan hari pelajar-pelajar istimewa, supaya masyarakat seperti itu tidak diketepikan dan mereka perlu merasakan kegembiraan bersama-sama kita,” ujarnya.

Sementara itu, B.C Mohan pula menyatakan, menerusi projek CSR sejak dua tahun lepas mereka telah banyak menganjurkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan termasuklah kempen derma darah, membersihkan pantai dan membersihkan tanah perkuburan orang-orang Islam dan sebagainya.

“Aktiviti hari ini juga adalah sebagai meraikan kejayaan syarikat bagi melengkapkan kontrak selama dua tahun, yang mana 50 peratus daripada pekerja kami adalah terdiri daripada anak-anak tempatan, dan kami merasa gembira dengan kejayaan syarikat kami ini yang ditubuhkan bermula daripada kosong,” katanya.

Pelajar-pelajar Istimewa Pusat Bahagia Eric Goh berpeluang beramah mesra dengan kakitangn Syarikat Perusahaan Mozzat Sdn Bhd dalam aktiviti melukis wajah.
Pelajar-pelajar Istimewa Pusat Bahagia Eric Goh berpeluang beramah mesra dengan kakitangn Syarikat Perusahaan Mozzat Sdn Bhd dalam aktiviti melukis wajah.

Beliau juga menegaskan, syarikat berkenaan yang kini pada mulanya hanya mempunyai kira-kira 70 orang pekerja kini telah mencapai keramaian 240 orang dan seramai 120 orang daripadanya adalah anak tempatan.

“Syarikat kami yang seratus peratus tempatan, telah memenangi kontrak terbesar pada tahun 2014 dan sasaran kami adalah berusaha untuk meningkatkan lagi pencapaian sehingga 60 peratus pekerja tempatan pada tahun ini, dengan secara berterusan memberikan berbagai-bagai kursus dan latihan bagi menaikkan kemahiran dan pengetahuan teknikal, bukan saja di dalam negeri tetapi juga keluar negara, di samping telah ramai pekerja tempatan yang dinaikkan pangkat, dan syarikat terus bekerja rapat dengan EIPDMO dari semasa ke semasa,” katanya.

Syarikat tersebut telah mula ditubuhkan pada tahun 2008, dan pada tahun 2014 telah dianugerahkan kontrak bagi Provision of Intergrated Inspection Service selama lima tahun tambahan dua tahun.

Syarikat berkenaan beroperasi di dua kawasan luar pantai dan darat, serta mempunyai sasaran untuk terus meningkatkan kemahiran dan pengalaman kepada pekerja-pekerja mereka dalam kalangan anak-anak tempatan, dengan menggabungkan tugas bersama-sama dengan pekerja berkemahiran syarikat itu dari luar negara.

ARTIKEL YANG SAMA