Perutusan tahniah buat Najib, Adenan

Perutusan tahniah buat Najib, Adenan

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Mei – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, telah berkenan menghantar titah-titah perutusan kepada Perdana Menteri Malaysia, Dato Laila Utama Datuk Seri Mohd Najib dan juga kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Haji Adenan Satem berikutan kemenangan besar Parti Barisan Nasional (BN) pada Pilihanraya Negeri Sarawak Ke-11 (PRN-11), dan juga pelantikan semula beliau sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Dalam titah perutusan kepada Dato Laila Utama Datuk Seri Mohd Najib, Baginda percaya bahawa kemenangan besar BN dalam PRN-11, baru-baru ini melambangkan kepercayaan berterusan rakyat Negeri Sarawak terhadap teraju kepimpinan kerajaan BN di Sarawak.

Baginda seterusnya berharap hubungan erat yang wujud antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia akan terus berkembang dan terpelihara di tahun-tahun akan datang.

Sementara itu, dalam titah perutusan kepada Tan Sri Haji Adenan Satem, Baginda percaya bahawa pelantikan semula beliau sebagai Ketua Menteri Sarawak berikutan kemenangan besar BN kali ini, melambangkan kepercayaan berterusan rakyat terhadap kepimpinan beliau dalam mentadbir Negeri Sarawak.

Baginda seterusnya yakin negeri Sarawak akan terus maju dan menikmati pembangunan yang pesat di bawah kepimpinan Tan Sri Haji Adenan Satem, dan seterusnya Baginda berharap hubungan rapat dan persefahaman yang sentiasa terjalin di antara Brunei Darussalam dan Negeri Sarawak akan terus berkembang lagi demi kepentingan dan kebaikan bersama.

Sebagai mengakhiri titah-titah perutusan tersebut, Baginda berdoa kehadrat Allah S.W.T semoga Dato Laila Utama Datuk Seri Mohd Najib dan Tan Sri Haji Adenan Satem serta keluarga masing-masing akan sentiasa berada dalam keadaan sihat sejahtera dan dalam pemeliharaan-Nya.