Perutusan tahniah kepada Arab Saudi

Perutusan tahniah kepada Arab Saudi

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Sept – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar perutusan tahniah kepada Penjaga Dua Masjid Suci, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud, Raja Arab Saudi, kerajaan dan rakyat Arab Saudi sempena dengan Ulang Tahun Hari Kebangsaan negara tersebut.

Dalam perutusan berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia sangat menghargai hubungan persaudaraan dan kerjasama yang penting yang sekian lama telah dinikmati oleh kedua-dua buah negara dan seterusnya berharap akan berpeluang bagi meluaskan lagi hubungan yang berharga itu di masa-masa akan datang.

Pada mengakhiri perutusan tersebut Baginda berdoa semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan mengurniakan kepada Baginda Raja Salman dan seluruh keluarga diraja sihat walafiat dan kebahagiaan yang berpanjangan, seterusnya menyampaikan salam muhibah dan ucap selamat menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Raya Aidiladha.

Sementara itu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, juga berkenan menghantar perutusan tahniah kepada Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Arab Saudi, Tuan Yang Terutama Abdel bin Ahmed Al Jubair sempena Hari Kebangsaan Arab Saudi.

Dalam perutusan itu, Duli Yang Teramat Mulia menyampaikan penghormatan kepada Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud dan mengucapkan tahniah kepada Tuan Yang Terutama, kerajaan serta rakyat Arab Saudi sempena sambutan berkenaan.

Duli Yang Teramat Mulia turut menyampaikan penghargaan atas hubungan berpanjangan di antara kedua-dua buah negara dan meluahkan harapan untuk mengukuhkan lagi hubungan mesra dan kerjasama rapat secara dua hala atau dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC). Duli Yang Teramat Mulia mengakhiri perutusan dengan salam muhibah dan meng-ucapkan selamat menyambut Hari Kebangsaan dan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada Tuan Yang Terutama.

ARTIKEL YANG SAMA