Perutusan tahniah kepada China, Rusia

Perutusan tahniah kepada China, Rusia

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Sept – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan menghantar titah-titah perutusan tahniah kepada China sempena ulang tahun ke-67 Pengasasan Republik Rakyat China dan kepada Rusia sempena ulang tahun ke-25 penubuhan hubungan diplomatik di antara kedua-dua buah negara.

Dalam perutusan tahniah kepada China, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menghantar perutusan tahniah kepada Presiden Republik Rakyat China, Xi Jinping, Perdana Menteri China, Li Keqiang dan juga kerajaan serta rakyat Republik Rakyat China.

Dalam perutusan kepada Xi Jinping, Kebawah Duli Yang Maha Mulia amat menghargai persahabatan yang mesra dan kerjasama yang rapat di antara kedua-dua buah negara. Dalam kedua-dua buah negara meraikan ulang tahun ke-25 hubungan diplomatik, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berharap dapat bekerja rapat dengan beliau bagi mengukuhkan lagi persahabatan yang sekian lama wujud di peringkat dua hala mahu pun serantau dan antarabangsa.

Baginda seterusnya bertitah bahawa Negara Brunei Darussalam berasa gembira di atas keistimewaan menjadi “Country of Honour” bagai Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) pada tahun 2017 dan berharap semoga beliau beroleh kejayaan dalam persediaannya.

Sementara itu dalam perutusan Baginda yang sama kepada Li Keqiang, Baginda menzahirkan kepentingan perhubungan mesra dan bersejarah Negara Brunei Darussalam dengan Republik Rakyat China dan juga kerjasama yang semakin berkembang dengan pesatnya dan berharap akan terus bekerja rapat dengan beliau sebagai rakan kongsi dua hala dan serantau.

Pada mengakhiri titah-titah perutusan tersebut, Baginda menyampaikan salam sejahtera kepada Xi Jinping, Li Keqiang dan semoga rakyat Republik Rakyat China akan menikmati kemakmuran.

Manakala dalam perutusan tahniah sempena perhubungan hubungan diplomatik ke-25 tahun dengan Rusia, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menghantar perutusan tahniah kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Dalam perutusan itu, Baginda amat menghargai persahabatan dan kerjasama yang berkembang di antara kedua-dua buah negara beberapa tahun kebelakangan ini, ditambah lagi dengan beberapa pertukaran lawatan di antara Negara Brunei Darussalam dengan Persekutuan Rusia, baik di peringkat rasmi dan tidak rasmi.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya menambah bahawa beberapa keberangkatan Baginda sendiri ke Persekutuan Rusia semasa meninggalkan kenangan manis, terutamanya di atas layanan baik dan mesra yang dihulurkan oleh rakyat Rusia.

Hubungan baik di antara Negara Brunei Darussalam dengan Persekutuan Rusia, titah Baginda, telah membolehkan banyak kemajuan dicapai dalam hubungan dua hala dalam pelbagai bidang yang penting.

Baginda seterusnya menghargai usaha kedua-dua belah pihak dalam mengembangkan bidang kerjasama dua hala tersebut di peringkat serantau dan antarabangsa, dan berharap akan berpeluang untuk mengukuhkan lagi hubungan yang penting ini pada tahun-tahun akan datang.

Bagi mengakhiri perutusan tersebut, Baginda menyampaikan salam muhibah kepada Vladimir Putin.

ARTIKEL YANG SAMA