Perutusan tahniah kepada China

Perutusan tahniah kepada China

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Sept – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah perutusan tahniah kepada Presiden Republik Rakyat China, Xi Jinping dan kerajaan serta rakyat Republik Rakyat China sempena ulang tahun penubuhan hubungan diplomatik ke-25 antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China.

Dalam titah perutusan itu, Baginda amat gembira melihat hubungan kedua-dua buah negara semakin bertambah kukuh disebabkan komitmen peribadi Xi Jinping dan juga persahabatan mesra di antara rakyat masing-masing. Peningkatan hubungan melalui hubungan kerjasama strategik merupakan satu mercu tanda yang signifikan, berasaskan kepercayaan dan aspirasi yang sama bagi kemajuan masa hadapan kedua-dua buah negara.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya menambah bahawa aktiviti-aktiviti yang diadakan bagi memperingati ulang tahun penubuhan tersebut berupaya meningkatkan lagi hubungan dan persefahaman di antara kedua-dua buah Negara.

Baginda seterusnya yakin kerjasama dalam bidang-bidang tertentu melalui inisiatif di bawah Koridor Ekonomi Brunei-Guangzi akan terus dapat meningkatkan hubungan kedua-dua buah negara bagi kemanfaatan dan kemajuan rakyat masing-masing pada tahun-tahun mendatang.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga merakamkan penghargaan di atas persahabatan yang telah wujud sewaktu Xi Jinping menyandang jawatan sebagai Gabenor Fujian dan seterusnya merakamkan penghargaan di atas layanan baik diberikan kepada Baginda, kerabat diraja dan juga pegawai-pegawai kerajaan Baginda semasa berkesempatan melawat Republik Rakyat China.

Pada mengakhiri titah per-utusan itu, Baginda berharap akan terus bekerjasama dengan Xi Jinping bagi memastikan perkembangan baik dalam hubungan kedua-dua buah negara dalam bidang dua hala mahu pun sebagai rakan serantau dalam ASEAN dan APEC dan seterusnya menyampaikan salam muhibah kepada beliau.

Dalam pada itu, Presiden Xi Jinping turut menghantar perutusan tahniah kehadapan majlis Baginda Sultan serta kerajaan dan rakyat Baginda sempena 25 tahun perhubungan diplomatik di antara kedua-dua buah negara.

Beliau antara lain menyatakan bahawa persahabatan di antara China dan Brunei boleh disusul kembali hingga zaman purbakala.

Menurut beliau, dalam tempoh 25 tahun, hubungan dua hala kedua-dua buah negara mengalami pertumbuhan sihat dan pantas.

“Sementara mengukuhkan kepercayaan bersama dan men-gembangkan kerjasama dalam pelbagai bidang, kita juga telah mengekalkan koordinasi rapat dalam hal ehwal serantau dan antarabangsa.

“Dengan saling hormat-menghormati dan layanan sama, China dan Brunei telah menjadi model negara-negara kecil dan besar saling memberi layanan sama dan mencapai hasil sama-sama untung,” ujarnya lagi.

Tahun ini, katanya, kedua-dua belah pihak telah meng-adakan pelbagai perayaan, yang mempertingkatkan lagi perse-fahaman dan persahabatan di antara rakyat kedua-dua buah negara.

Menurutnya lagi, beliau menekankan kepentingan hubungan China-Brunei dan berkata, China sedia untuk bekerjasama dengan Brunei untuk meneruskan persahabatan tradisional, mendalamkan kerjasama berkepentingan bersama, dan terus memperkayakan perhubungan kerjasama strategik, untuk membawa lebih banyak manfaat kepada rakyat dan menyumbang kepada keamanan serta pembangunan di rantau ini.

Beliau mengakhiri perutusan dengan melahirkan harapan agar persahabatan di antara rakyat kedua-dua buah negara terus kukuh dan berkembang.

ARTIKEL YANG SAMA