Perutusan tahniah kepada Filipina, Kanada

Perutusan tahniah kepada Filipina, Kanada

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Jun – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah perutusan tahniah kepada Filipina dan Kanada sempena pelantikan presiden Filipina dan Hari Kanada.

Dalam perutusan tahniah kepada Filipina, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menghantar perutusan tahniah kepada Presiden Rodrigo Duterte berikutan pelantikannya sebagai Presiden Republik Filipina ke-16.

Baginda berharap Presiden Rodrigo Duterte meraih kejayaan dalam jawatannya yang baru itu dan seterusnya berharap akan dapat bekerja rapat dengan beliau dalam meningkatkan lagi hubungan sangat bernilai yang sekian lama dinikmati oleh kedua-dua buah negara, baik secara dua hala mahu pun sebagai rakan dalam ASEAN.

Pada mengakhiri titah perutusan tersebut, Baginda menyampaikan salam muhibah kepada Presiden Rodrigo Duterte.

Manakala dalam perutusan tahniah kepada Kanada, Baginda mengucapkan tahniah kepada Gabenor-Jeneral Kanada, David Johnston, Perdana Menteri Kanada Justin P.J.Trudeau dan juga kerajaan serta rakyat Kanada bersempena Hari Kanada.

Dalam titah perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia kepada David Johnston, Baginda merakamkan penghargaan tinggi terhadap persahabatan yang rapat dan kerjasama yang sekian lama terjalin serta amat berharga yang dinikmati kedua-dua buah negara dan rakyat masing-masing dan Baginda berharap akan dapat mengukuhkan perhubungan ini pada masa-masa akan datang.

Sementara dalam titah perutusan kepada Justin P.J. Trudeau, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berharap akan dapat bekerja rapat dengan beliau bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang sudah sekian lama terjalin dan juga dalam kerjasama serantau dan antarabangsa.

Baginda menyampaikan titah-titah perutusan kepada kedua-duanya dengan menyampaikan ucapan muhibah dan selamat menyambut perayaan tersebut.